NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK
Advertisement
Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 5)
SEORANG lelaki dari puak Irasy (iaitu Ibn al-Ghauth, bapa Anmar. Irashah ialah satu kelompok dari Khuth’um. Dengan kata lain- qabilah Irash) datang ke Mekah dengan membawa unta.
Abu Jahal membelinya. Dia sengaja melewatkan bayaran harga unta.
Lelaki Irasyi tadi datang kepada satu kumpulan orang Quraisy di satu kelab (tempat bertemu) tidak jauh dari Kaabah, sementara Nabi SAW sedang duduk di satu sudut masjid. Lelaki Irasyi berkata: ‘Wahai kaum Quraisy! Siapakah di kalangan kamu yang boleh ku menyelesaikan hutang dari Abil-Hakam bin Hisham? Aku ini orang asing, jauh, sedangkan dia menyusahkan aku kerana hutangnya.’
Mereka yang berada di kelab itu berkata: ‘Kamu nampak tak lelaki (iaitu Nabi Muhammad SAW) yang duduk di sana? Pergi ke sana dan minta dia membantumu.’ Tujuan Quraisy sebut demikian ialah secara perli kerana mereka tahu permusuhan Abu Jahal dengan Nabi SAW.
Lelaki Irasyi yang tidak mengenali Nabi SAW dan tidak faham maksud Quraisy tadi pergi menemui Nabi SAW. Dia berdiri depan Nabi, lalu berkata: ‘Wahai hamba Allah! Sesungguhnya Abal-Hakam bin Hisham menyusahkan aku kerana dia ada berhutang kepadaku. Aku ini orang asing, jauh. Aku tanya mereka itu, siapa yang boleh membantuku mendapatkan hutangku. Mereka tunjukkan aku kepadamu. Tolong aku ambil hakku darinya. Moga Allah merahmatimu.’
Nabi SAW bersabda: ‘Mari kita pergi.’
Nabi pergi bersama lelaki Irasyi itu. Apabila melihat Nabi pergi bersama lelaki itu, orang Quraisy berkata kepada seorang yang berada di kelab mereka: ‘Pergi ikut. Lihat apa yang dia buat.’
Nabi menuju ke rumah Abu Jahal. Baginda mengetuk pintu. Abu Jahal bertanya: ‘Siapa?’. Nabi menjawab: ‘Muhammad.’ Abu Jahal keluar. Wajahnya pucat. Nabi bersabda: ‘Berikan kepada lelaki ini haknya.’ Abu Jahal menjawab: ‘Baik. Kamu tak perlu tunggu lama. Aku akan bayar.’
Abu Jahal masuk ke dalam rumah, keluar semula dan membayar hutangnya.
Nabi berpaling kepada lelaki Irasyi itu dan bersabda: ‘Ini hakmu. Urusannya terpulang kepadamu.’
Lelaki Irasyi kembali ke kelab Quraisy: ‘Moga Allah balas kebaikan kepadanya (iaitu Nabi Muhammad). Dia telah mendapatkan hakku.’
Lelaki yang mengikut Nabi tadi datang ke kelab. Mereka bertanya: ‘Celaka engkau! Apa yang engkau lihat?’
Lelaki itu menjawab: ‘ Sangat pelik.Demi Allah! Tidak ada yang dibuat melainkan Muhammad mengetuk pintu. Abul-Hakam keluar dalam keadaan pucat. Muhammad minta supaya dilunaskan hutang. Dia jawab: Baik, aku segera bayar. Dia masuk ke dalam, keluar semula dan terus bayar hutang.’
Tidak lama kemudian, Abu Jahal datang. Mereka berkata: ‘Celaka engkau! Apa engkau ini? Demi Allah! Kami tak pernah lihat apa yang engkau buat ini.’
Abu Jahal menjawab: ‘Celaka kamu! Demi Allah! Dia hanya mengetuk pintu rumahku. Aku dengar suaranya, lalu aku rasa sangat gerun. Aku keluar rumah. Di atas kepalanya, ada seekor unta besar yang aku tak pernah lihat. Sangat tinggi, tengkok yang besar dan gigi taring yang tajam. Demi Allah! Kalau aku enggan bayar, tentu unta itu makan aku.’
Dari kisah ini, kita mendapat beberapa pengajaran:
1-Mereka yang mempunyai aqidah yang rosak, memberi kesan kepada akhlaknya yang juga rosak.
2-Kerosakan akhlak seperti tidak membayar hutang, melaga-lagakan orang lain, melekehkan orang yang baik dan memandang sinis kepada pejuang agama. (Kalau di zaman kita ini, mereka digelar dengan pelbagai gelaran palsu yang direka oleh orang yang rosak akhlak dan hatinya).
3-Hutang mesti dibayar, juga dengan segera terutama yang sangat diperlukan oleh tuannya. Nabi sebut dalam hadis lain:
مطل الغني ظلم
‘Orang yang ada duit tetapi melengahkan pembayaran adalah zalim.’
4- Nabi SAW sentiasa membantu orang yang ditindas sekalipun Baginda tidak mengenalinya.
5- Allah memberikan mukjizat kepada Nabi ketika mendapat kan sesuatu hak, tetapi tidaklah perkara ini sentiasa berlaku. Sunnatullah (peraturan alam yang ditentukan oleh Allah) juga perlu diambilkira. – HARAKAHDAILY 12/8/2021
Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.





