'Menyelam' pakaian berjenama di lubuk bundle untuk Aidilfitri

'Menyelam' pakaian berjenama di lubuk bundle untuk Aidilfitri

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bahang sambutan Aidilfitri yang semakin terasa biasanya menyebabkan butik pakaian serba baharu diserbu orang ramai., namun wujud anjakan trend ketara pada tahun ini apabila kedai pakaian terpakai atau bundle kini menjadi lubuk utama Generasi Z (Gen Z) memburu kelengkapan lebaran.

Bukan lagi dilabel sebagai lubuk berdebu dan berbau untuk golongan berpendapatan rendah, industri bundle tempatan kini sudah berevolusi kepada konsep butik berhawa dingin, jualan siaran langsung di media sosial, serta jualan but kereta (car boot sale) bagi memenuhi cita rasa anak muda yang mahukan kelainan dan eksklusiviti jenama.

Bagi pekerja swasta, Syafiqa Humaira Saiful Haizam, 23, pengalaman mencari pakaian terpakai kini jauh berbeza kerana dia lebih selesa berkunjung ke kedai bundle berkonsepkan butik berhawa dingin di dalam pusat beli-belah untuk mendapatkan barangan yang sukar ditemui di pasaran biasa.

“Bagi saya, barangan bundle ini murah dan banyak pilihan pakaian vintaj yang kita tidak boleh dapat di butik biasa.

“Proses menyelam pula mengambil masa agak lama, jadi saya lebih selesa memilih kedai berhawa dingin supaya tidak berpeluh dan lebih gembira mencari pakaian berkualiti,” katanya.

Turut bersetuju dengan sentimen itu, penuntut universiti, Muhamad Haridz Hilmi H Tuah Khatib, 23, menjelaskan bahawa pembelian bundle masa kini bukan didorong semata-mata oleh kekangan kewangan, sebaliknya ia bertukar menjadi satu bentuk pelaburan gaya fesyen yang disulami kesedaran alam sekitar.

“Kepuasan sebenar adalah apabila kita berjaya menyelam pakaian berjenama seperti Ralph Lauren dengan harga yang sangat munasabah.

“Baju vintaj ini ada nilai sentimental dan kualitinya sangat baik serta berbaloi berbanding membelanjakan wang untuk baju fesyen segera buatan kilang,” katanya.

Bagi memenuhi permintaan Gen Z yang semakin cerewet tentang jenama dan kualiti, peniaga bundle juga mengubah strategi operasi mereka secara drastik bermula dari proses tapisan di gudang sehinggalah ke rak pameran.

Penolong Pengurus sebuah kedai bundle fizikal, Mohamad Khairil Abdullah, 24, berkata, pihaknya menapis pakaian dengan lebih ketat dan memastikan stigma kotor dibuang sepenuhnya dengan menyembur wangian fabrik di seluruh premis setiap jam, sekali gus menarik nisbah pelanggan muda dan otai yang seimbang.

“Untuk membuang stigma berbau kepam, kedai akan disembur wangian setiap sejam atau dua jam.

“Kini kita dapat melihat pelanggan lebih ramai yang mana nisbah orang lama (otai) dan generasi muda adalah seimbang pada kadar 50-50,” jelasnya.

Selain butik fizikal, usahawan bundle dalam talian, Muhammad Faiz Khairudin, 23, pula menggunakan strategi hibrid dengan beroperasi secara maya melalui Instagram dan siaran langsung, sambil turun ke padang berniaga di tapak jualan but kereta sekitar Kota Damansara.

Katanya, sungguhpun perniagaan secara maya semakin meluas, jualan bersemuka tidak boleh diabaikan kerana pembeli tempatan masih mahu menilai sendiri material kain dan merasai pengalaman tawar-menawar yang tidak boleh dilakukan di butik.

Mengulas mengenai persaingan sengit dengan lambakan pakaian fesyen segera yang sangat murah dari China menerusi platform e-dagang, Faiz berkata peniaga bundle tempatan mempunyai kelebihan dari sudut kepantasan logistik dan kualiti.

“Barang dari China memang murah tetapi tempoh penghantarannya panjang dan mungkin tidak sempat dipakai pada pagi raya, ditambah pula kos pos yang tinggi.

“Pakaian terpakai kita pula siap dicuci, digosok wangi dan pelanggan boleh terima seawal satu hingga tiga hari sahaja,” katanya.

Sementara itu, pekerja swasta, Ayu Aini Abd Aziz, 28, menyifatkan pembelian bundle adalah langkah ekonomi yang bijak terutamanya untuk digayakan pada majlis tertentu sahaja tanpa perlu membazirkan wang.

“Saya membeli mengikut keperluan majlis, jika pakaian itu sekadar untuk dipakai sekali sahaja, maka barangan bundle lebih berbaloi.

“Malah, saya turut mempraktikkan untuk menjual atau mendermakan semula pakaian saya kepada kedai bundle bagi melengkapkan kitaran penggunaan (close the cycle) supaya industri ini terus dapat menyokong kelestarian alam,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top