Menyerlah Tonjol Bakat Di Pasaran Filem Indonesia, Anna Jobling Tak Guna Bantuan Kroni

Menyerlah Tonjol Bakat Di Pasaran Filem Indonesia, Anna Jobling Tak Guna Bantuan Kroni

Semakin menyerlah menghiasi pasaran filem Indonesia, pelakon cantik Anna Jobling yang muncul dengan naskhah Lembayung dan Laut Tengah tidak menggunakan sebarang bantuan daripada kroni atau individu berpengaruh.

Menurut Anna, apa yang dikecapi tidak datang bergolek, sebaliknya berkat kesungguhan dan dedikasinya dalam industri seni menjadi tunjang utama terhadap pencapaian yang diraih sehingga bakatnya dipandang syarikat produksi Indonesia.

“Saya bersyukur atas penerimaan positif daripada penonton Indonesia. Ini satu pengiktirafan atas kerja keras selepas berulang alik Malaysia dan Indonesia selama hampir setahun membina nama.

“Saya percaya, tanpa usaha kita tidak akan dapat mencapai apa yang kita impikan. Ini adalah bukti bahawa kerja keras tidak akan mengkhianati hasil.

“Saya mencari peluang di sana sendiri bersama pihak pengurusan saya dengan menghadiri uji bakat. Selain itu, rakan-rakan selebriti di sana juga banyak memberi tunjuk ajar mengenai selok-belok menempa nama di Indonesia,” katanya.

Menurut Anna, dia bersyukur apabila industri perfileman Indonesia mula membuka pintu lebih luas kepada bakat-bakat luar, termasuk satu pengumuman yang bakal dibuat dalam waktu terdekat.

Katanya, dia menerima berlakon dalam sebuah filem daripada seorang pelakon wanita Indonesia yang cukup dikenali ramai.

“Saya sangat teruja untuk mengumumkan filem ketiga saya di Indonesia tidak lama lagi. Ini adalah projek yang sangat istimewa buat saya.

“Tak sangka saya menerima pelawaan daripada selebriti wanita ini. Saya berbesar hati diberi peluang untuk bekerjasama dengannya,” katanya.

Anna berharap kerjasama dengan pelakon terkenal itu akan membawa satu dimensi baru dalam kerjaya lakonannya. Dia percaya bahawa pengalaman ini akan mengasah lagi bakatnya dan memberikan ruang untuknya memperluas pengaruh di persada antarabangsa.

Scroll to Top