Menyesal kesilapan lalu, mahu buka episod baharu kehidupan

Menyesal kesilapan lalu, mahu buka episod baharu kehidupan

am@hmetro.com.my

Kuantan: “Saya kini insaf dan kembali ke pangkal jalan dengan menjalani kehidupan normal tanpa dibayangi kesalahan lalu,” kata Sulaiman, 54, bukan nama sebenar.

Dia antara individu yang ditahan apabila pihak berkuasa melakukan siasatan ke atas Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).

Sulaiman yang terbabit dengan perniagaan restoran di bandar ini, berkata dia bersama beberapa individu lain ditahan pihak berkuasa pada 21 September lalu untuk siasatan.

“Tinggal bersama empat rakan dalam lokap begitu menguji kesabaran dan mencetus keinsafan.

“Perniagaan yang diusahakan gulung tikar apabila ditinggalkan, malah episod kecundang dengan tindakan undang-undang terpaksa diterima dengan hati yang terbuka walaupun ia begitu pahit sekali,” katanya.

“Saya reda dengan tindakan kerajaan, pasti ada hikmah di sebaliknya hingga dia kerugian besar apabila kedai makan yang diusahakan bersama keluarga terpaksa ditutup,” katanya di sini, semalam.

Sulaiman yang berasal dari Muar, Johor, berkata sebelum ini dia terbabit dengan perniagaan makanan di pasar malam di beberapa negeri sebelum mengambil keputusan berhijrah ke daerah ini bersama keluarga.

Menurutnya, selain berniaga makanan, dia turut terbabit menyediakan perkhidmatan rawatan secara Islam termasuk bekam dan urutan untuk kaum lelaki dengan sokongan GISBH.

Katanya, kini dia terpaksa memohon bantuan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) untuk menyara keluarga apabila semua harta miliknya disita berikutan siasatan ke atas entiti terbabit.

“Saya akan buka ‘buku’ baharu dalam meneruskan kehidupan walaupun berhadapan pelbagai kesukaran dan berterima kasih atas keprihatinan MUIP yang banyak membantu.

“Bantuan berkenaan memberi sinar baharu buat kami dan berjanji tidak akan mengulangi kisah hitam lalu, episod silam kekal dalam lipatan sejarah. “Justeru, saya berharap masyarakat jangan memandang serong pada kami bekas ahli GISBH,” katanya yang memiliki 37 cahaya mata hasil perkahwinan dengan tiga isteri berusia empat hingga 34 tahun.

Lapan anaknya sudah berumah tangga dan mereka dikurniakan 20 anak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top