Kuala Lumpur: Ramadan merupakan bulan yang mempunyai kaitan erat dengan al-Quran. Ini disebabkan kerana al-Quran diturunkan padanya. Peristiwa ini dirakamkan dalam ayat 185, surah al-Baqarah. Allah SWT berfirman, maknanya:
“Pada bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan padanya al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil).”
Asasnya, al-Quran dihuraikan sebagai kalam Allah berupa mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dalam bahasa Arab melalui perantaraan Malaikat Jibril AS dan ditulis di dalam beberapa mushaf, bermula dengan surah al-Fatihah dan berakhir dengan surah al-Nas, diriwayatkan secara mutawatir dan membacanya merupakan satu ibadat. Ia menjadi petunjuk bagi sekalian umat Islam sepanjang zaman. Tanggal 17 Ramadan merupakan satu tarikh yang penting buat umat Islam kerana ia menjadi saksi bagi peristiwa penurunan al-Quran (nuzul al-Quran). Proses penurunan ini berlangsung dalam beberapa fasa. Imam al-Nasafi dalam kitab Tafsir al-Nasafi menyebut bahawa diturunkan al-Quran sekaligus pada lailatul qadar dari luh mahfuz ke langit dunia. Kemudian Malaikat Jibril menurunkan al-Quran kepada Rasulullah SAW secara berperingkat, bermula dari perlantikan Nabi Muhammad SAW menjadi rasul sehinggalah kewafatan baginda dalam tempoh lebih kurang selama 23 tahun.
Pada dasarnya, terdapat pelbagai hikmah kenapa al-Quran diturunkan secara bertahap, iaitu sedikit demi sedikit. Ini disebabkan bahawa Allah SWT mampu untuk menurunkan al-Quran secara sekaligus. Dalam hal ini, beberapa hikmah yang dapat digariskan adalah seperti berikut:
Pertama, penurunan al-Quran secara berperingkat adalah bertujuan agar ia dapat disosialisasikan dalam masyarakat. Para sahabat Nabi dapat menghafal ayat al-Quran, kemudian memahami apa yang dimaksudkannya serta mengimplemetasikan isi kandungan al-Quran secara sedikit demi sedikit dalam kehidupan harian. Secara mudahnya, sahabat Nabi SAW menerima ayat al-Quran, memahami dan terus mengamalkannya. Oleh yang demikian, mereka dapat mengubah, memperbaiki dan mengamalkan cara hidup mereka dari aspek akidah, ibadah, dan memurnikan tradisi budaya dan sistem kemasyarakatan mereka secara berperingkat mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh syarak. Tambahan pula, orang akan enggan melaksanakan suruhan dan larangan ia diarahkan secara sekaligus dalam kadar yang banyak. Ia memberatkan. Pendekatan beransur-ansur ini menjadikan proses penerimaan syariat Islam berjalan lancar.
Kedua, meraikan kemaslahatan dan keperluan semasa umat Islam ketika penurunan ayat-ayat al-Quran. Ini tidak dapat digambarkan sekiranya al-Quran diturunkan secara serentak kerana keperluan dan hajat manusia berlaku secara bertahap. Sebagai contoh, ayat pengharaman arak ia diturunkan dalam beberapa peringkat sehingga akhirnya diharamkan sepenuhnya dalam surah al-Ma’idah. Pendekatan ini sesuai dengan syariat Islam yang meraikan kemaslahatan umat manusia dan mengambil kira keadaan mereka tanpa membebankan secara mendadak.
Ketiga, al-Quran diturunkan mengikut kesesuaian dengan peristiwa-peristiwa besar yang terjadi dalam sejarah Islam seperti kisah-kisah para nabi yang sering kali dikaitkan dengan sebab-sebab penurunan ayat al-Quran. Perkara ini juga dapat dilihat pada peristiwa perubahan qiblat dari Baitul Maqdis ke Kaabah di Mekah seperti yang disebut dalam surah al-Baqarah. Natijahnya, ia akan lebih memberi kesan dan pengaruh yang besar kepada hati pembacanya serta memperkukuhkan akidah, memberi bimbingan dan merungkaikan cabaran yang dihadapi.
Selain itu, dalam menelusuri peristiwa nuzul al-Quran, banyak pengajaran yang diperolehi oleh umat Islam. Pertama, ia memaparkan keagungan dan kebesaran Allah SWT. Umat Islam dapat menyaksikan kehebatan dan keunikan dalam proses penurunan al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantara Malaikat Jibril. Misalnya, Nabi Muhammad SAW telah melalui situasi dan keadaan yang berbeza-beza ketika menerima wahyu seperti dapat menerusi mimpi yang benar, bertemu malaikat Jibril yang menyerupai seorang lelaki dan terkadang menjelmakan rupa dirinya yang sebenar dan lain-lain lagi.
Kedua, Allah SWT ingin memantapkan serta merawat hati Rasulullah SAW apabila setiap kali menghadapi ujian, cabaran dan tentangan daripada pihak musuh Islam. Allah SWT menurunkan ayat-ayat yang bersifat motivasi, penguat semangat dan penghibur kepada Rasulullah SAW. Misalnya ketika mana baginda Nabi SAW dihina, dikeji serta dilempari batu dalam peristiwa dakwah di Ta’if, Allah SWT menurunkan ayat-ayat yang menunjukkan bahawa nabi-nabi terdahulu turut diuji juga. Oleh demikian, umat Islam dapat menyaksikan kebijaksanaan dan rahmat Allah SWT terhadap manusia dalam membimbing serta memotivasikan mereka yang berada dalam ujian hidup dan kesusahan.
Ketiga, al-Quran adalah sumber hukum dan panduan hidup manusia yang relevan sehinggalah hari kiamat kelak. Selain daripada mendatangkan perbincangan berkaitan sejarah dan sirah umat-umat terdahulu, al-Quran turut menjadi rujukan utama dalam perbincangan akidah, ibadah, muamalah dan akhlak. Ia memberi jawapan kepada persoalan-persoalan dasar yang timbul sepanjang kehidupan manusia hingga hari akhirat. Ini menjadikan al-Quran sebagai kitab yang utama dan penting serta relevan dalam melayani dinamisme masyarakat Islam di seluruh dunia sepanjang zaman.
Jelasnya, nuzul al-Quran bukan semata-mata peristiwa yang penting dalam Islam, tetapi ia membawa hikmah dan pengajaran yang besar kepada umat Islam. Ini disebabkan kehebatan al-Quran itu sendiri serta proses penurunannya kepada Nabi Muhammad SAW di samping relevansinya dalam menjawab perubahan zaman. Justeru, umat Islam perlu mengambil kesempatan dalam bulan Ramadan untuk memperbanyakkan membaca al-Quran dan mentadabbur ayatnya di samping mengamalkan isi kandungan al-Quran dalam kehidupan seharian supaya ia dapat menjadikan kita sebagai sebaik-baik umat yang hidup berdasarkan pedoman syariat Allah SWT.
Oleh: Mohamad Aiman Ashraff Mohd Zamri
Mahasiswa Tahun Akhir, Universiti al-Azhar, Kaherah, Mesir.
Penulis dapat dihubungi di emel: mohamadaimanashraff@gmail.com