Menyingkap tabir hikmah Hijraturrasul S.A.W

HIJRAH merupakan satu agenda yang besar dalam hidup Nabi Muhammad S.A.W. Ada beberapa perkara yang wajar untuk difahami dalam peristiwa Hijrah;

Advertisement

Mengambil kira faktor ‘sebab’

Allah S.W.T menceritakan di dalam al-Quran betapa cabaran yang dihadapi oleh para Nabi A.S menggambarkan bahawa Islam itu bukanlah tertegak secara ‘magic’. Akan tetapi ada liku-liku yang terpaksa dihadapi oleh mereka.

Bukanlah untuk menunjukkan bahawa Allah S.W.T tidak mampu untuk memberi kemenangan dengan jalan yang mudah, akan tetapi untuk menjadi pedoman kepada umat akhir zaman, bahawa kemenangan itu perlu diusahakan.

Di dalam Surah al-Kahfi, Allah S.W.T menceritakan mengenai Raja Zulqarnain yang diberikan ‘sebab’ (jalan) diberikan kuasa olehNya:

إِنَّا مَكَّنَّا لَهُ فِي الْأَرْضِ وَآتَيْنَاهُ مِن كُلِّ شَيْءٍ سَبَبًا (84) فَأَتْبَعَ سَبَبًا (85) 

“Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya. (84) Lalu ia menurut jalan (yang menyampaikan maksudnya). (85)”

Ada pelbagai pendapat ulamak mengenai maksud ‘sebab’ itu, Ibnu Abbas dan lain-lain menyatakannya sebagai ‘ilmu’. Iaitu ilmu yang diberikan kepada Raja Zulqarnain menjadi sebab kepada kekuasaan yang dikurniakan kepada-Nya.

Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam mengatakan ‘sebab’ itu ialah komunikasi yang baik. Beliau tidak perlu memerangi sesuatu kaum untuk membuat sebarang ketetapan, melainkan hanya perlu berbincang dengan mereka. Pandai berkomunikasi ini menjadi ‘sebab’ kenapa beliau dikurniakan kuasa.

Justeru, kita perlu fahami bahawa Allah S.W.T menyediakan faktor ‘sebab’ dalam sesuatu peristiwa, agar manusia hari ini mengambil kira faktor tersebut. Contohnya, untuk sembuh, perlu makan ubat. Ubat itu merupakan ‘sebab’ untuk sembuh.

Hakikatnya, Allah S.W.T berkuasa menyembuhkan orang tanpa ubat pun. Allah S.W.T cuma nak lihat kesungguhan kita berusaha untuk sembuh dengan cara mengambil ubat. Inilah yang disebut sebagai ‘sebab’, yang merupakan satu kaedah yang disediakan oleh Allah S.W.T untuk makhlukNya.

Dalam peristiwa Hijrah, kita perlu faham bahawa ia adalah sebahagian daripada ‘sebab’ tertegaknya sebuah negara Islam. Walaupun Allah S.W.T berkuasa mewujudkan negara Islam tanpa peristiwa Hijrah, namun, Allah S.W.T tetap letakkan agenda ‘Hijrah’ dalam kehidupan Baginda S.A.W untuk membina negara.

Ini kerana, Allah S.W.T nak supaya kita berusaha melalui jalan (sebab) yang dilalui oleh Baginda S.A.W untuk ke arah itu. Bukanlah hanya duduk bersahaja, tidak berusaha untuk melaksanakan agenda Islam. Sebab itulah kita perlu sedar bahawa Islam itu tidak tertegak dengan magic atau keajaiban. 

Bahkan, ia perlu diusahakan, sekalipun Allah S.W.T berkuasa untuk menangkan Islam tanpa usaha daripada manusia pun. Di sinilah kita perlu fahami peristiwa Hijrah.

Makkiyyah dan Madaniyyah

Kedua-dua fasa ini dipisahkan dengan peristiwa Hijrah. Kedua-dua fasa ini perlu difahami secara betul, bukan hanya dari sudut pembelajaran dalam Ulumul Quran sahaja. Makkiyyah dan Madaniyyah di dalam al-Quran sama ada dikira mengikut surah, ataupun ayat.

Iaitu ayat atau surah yang diturunkan di Makkah (Fasa sebelum Hijrah) dan juga ayat atau surah yang diturunkan di Madinah (Fasa selepas Hijrah). Perbezaan tanda-tanda ayat yang diturunkan di Makkah atau Madinah telah dirumuskan oleh para Ulamak dalam Ulumul Quran.

Cuma, apa yang ingin saya lontarkan di sini ialah ayat yang diturunkan di Makkah, rata-rata dalam bentuk pembentukan ideologi dan pemikiran. Manakala ayat yang diturunkan di Madinah, lebih kepada pembentukan sistem.

Contohnya ayat-ayat yang menceritakan kisah para Rasul terdahulu, kebanyakannya diturunkan di Makkah. Ini kerana, kisah-kisah tersebut sarat dengan pembentukan pemikiran. Antaranya berkaitan tauhid, hujah akal, rangsangan berfikir dan banyak lagi.

Begitu juga ayat yang diturunkan di Madinah, kebanyakannya menceritakan mengenai syariat, mengenai sistem, undang-undang dan sebagainya. Contoh ayat mengenai riba, yang berkait dengan sistem ekonomi, ia diturunkan di Madinah.

Sekalipun di Makkah ada undang-undang yang menzalimi, namun Nabi S.A.W lebih fokus kepada pembentukan pemikiran. Di Madinah pula, walaupun ada unsur-unsur kecelaruan cara berfikir, namun Nabi S.A.W lebih fokus kepada pembentukan sistem. Di sinilah kita perlu fahami peristiwa Hijrah.

Strategi membina negara

Kita perlu sedar, Nabi S.A.W bukanlah orang asal Madinah. Tetapi dengan ketiga-tiga strategi ini, Baginda S.A.W menjadi orang yang berpengaruh dan seorang pimpinan contoh. Ketiga-tiga strategi ini didahului oleh 2 peristiwa penting di Makkah, iaitu Perjanjian Aqabah pertama dan kedua.

Perjanjian Aqabah pula bermula dengan pembentukan pemikiran orang-orang Madinah yang bermusafir ke Makkah ketika itu. Pembentukan pemikiran itu dilaraskan oleh Baginda S.A.W. Selepas pulang ke Madinah, mereka menyampaikan isi-isi Baginda S.A.W di sana.

Kita juga perlu sedar, seawal ketibaan Nabi S.A.W di Madinah, Baginda juga mengatur strategi pembinaan sebuah negara. Strategi itu ialah;

a. Pembinaan masjid. Masjid Nabi dibina seawal tiba di Madinah kerana ia sebagai simbol kepada pemusatan kuasa pentadbiran. 

b. Menyatukan orang Islam, melalui sistem ‘taakhi’. Ia adalah simbol kepada kesatuan teras.

c. Piagam Madinah. Ia sebagai simbol kepada pembentukan undang-undang dan dominasi.

Gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia berada dalam situasi yang berbeza. Ada yang berada dalam negara yang diperintah oleh penguasa yang zalim, ada juga yang menjadi sebahagian daripada kerajaan. Namun, ia tidak menjadi alasan untuk malas mengkaji sirah Nabi S.A.W untuk diteladani.

Kita hari ini mungkin masih lemah dalam pembinaan pemikiran, menyebabkan kita sukar untuk menghadapi persaingan ini. Kita juga masih tercari-cari kaedah yang sesuai untuk memperkenalkan sistem Islam dalam sesebuah negara. 

Kita hanya tahu laungkan ‘kita perjuangkan Islam’ tetapi kita masih ‘blur’ bagaimana untuk ‘convert’ isi-isi al-Quran dan Hadis Nabi S.A.W menjadi sebuah sistem. Di sinilah kita perlu fahami peristiwa Hijrah.

MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 9/8/2021