wanasr@hmetro.com.my
Menara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang terletak di kawasan seluas 5.14 ekar di Damansara Damai, Petaling Jaya, bakal diduduki secara berperingkat bermula Mei nanti.
Berkongsi mengenai mercu tanda yang juga ibu pejabat baharu FINAS itu, Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Azmir Saifuddin Mutalib memaklumkan ia akan menjadi satu lembaran baharu buat seluruh perbadanan kerajaan itu serta karyawan seni.
“Apa yang saya pasti semua orang sudah nampak ada bangunan baharu di kawasan sekitar Sungai Buloh itu. Bangunan 15 tingkat ada logo FINAS sudah terpampang di bangunan itu dilengkapi pelbagai kemudahan antaranya studio satu dan dua nampak menarik.
“Ini adalah salah satu cabaran yang Datuk Hans Isaac (Pengerusi FINAS), kementerian, lembaga pengarah dan pengurusan berikan kepada kami.” katanya pada Majlis Berbuka Puasa anjuran FINAS bersama wakil media yang juga ahli Persatuan Penulis dan Wartawan Hiburan Malaysia (WHAM) baru-baru ini.
Pada majlis itu WHAM diketuai Presidennya, Tengku Datuk Khalidah Tengku Bidin serta editor kanan dan wartawan daripada pelbagai agensi media.
Mengulas lanjut mengenai perancangan FINAS pada tahun ini Azmir berkata, pihaknya bakal melancarkan semula Dasar Filem Negara dengan kali terakhir ia dilaksanakan pada sekitar tahun 2005.
“Jika tiada aral akan ada akta dilancarkan semula menerusi Dasar Filem Negara dengan sasaran kita ia dapat dilaksanakan Jun nanti.
“Selepas akta kita juga akan melakukan beberapa pelaksanaan seperti berkaitan kelulusan dasar peraturan pelesenan,” tambahnya.
Disamping itu, Azmir memaklumkan kompleks FINAS di Hulu Klang akan dijadikan pusat lengkap pelbagai kemudahan atau hab industri fasiliti.
“Sebelum ini kita ada pejabat di Petaling Jaya, Hulu Klang dan beberapa cawangan tapi sekarang kita akan ada satu HQ (ibu pejabat) sahaja dilengkapi dengan beberapa fasiliti terbaru tetapi jangan lupa ini juga hasrat Hans menjadikan Hulu Klang sebagai satu hab industri fasiliti dengan semua aktiviti, latihan, pertemuan karyawan seni berlangsung di sana.
“Jadi aktiviti industri kita pergiatkan lagi di Hulu Klang di mana ia sudah mempunyai satu momentum, memiliki fasiliti bagus serta mendapat maklum balas yang baik daripada penggiat seni,” katanya.
Sementara itu, Hans berkata pihaknya turut bercadang menubuhkan akademi latihan di sana namun semuanya perlu dikaji dan dibincang bersama kementerian dan lembaga pengarah terdahulu.
“Mungkin kita mula dengan 50 peratus akademi dari segi beberapa kemahiran dalam industri kreatif seperti penulisan, pengarahan, penerbitan dan sebagainya.
“Ia akan menjadi antara penggerak utama dalam menghasilkan filem bagus. Jadi bila orang datang pada kita. Kita boleh bagi biasiswa untuk tarik anak muda kita menjadikan filem bertambah baik.
“Sebelum ini kita ada terfikir kenapa tidak ada hab. Jadi di sini ia boleh dijadikan tempat lepak, berbincang mengenai semua aspek kreatif, teknikal dan dapat juga ‘brainstorm’ dari segi karier. Secara tidak langsung ia dapat membantu golongan karyawan seni yang memerlukan kemudahan terbabit,” katanya.
Terdahulu, Azmir turut berkongsi kejayaan membanggakan yang dicetuskan warga industri seni tempatan pada tahun lalu susulan beberapa kejayaan cemerlang.
Katanya, ia dapat dilihat berdasarkan pencapaian mencatat kutipan box office lebih RM240 juta membabitkan filem tempatan sekali gus rekod tertinggi sepanjang zaman. Selain dapat menghasilkan 1 bilion pelaburan, bukan sekadar setahun tapi bagi jangka masa tiga tahun akan datang.
“Pencapaian ini berdasarkan dari segi pelaburan dibawa melalui projek program realiti dan animasi juga kejayaan besar.
“Sebenarnya animasi ada banyak cerita, Malaysia antara pelopor, jarang uar-uarkan berbanding negara Asia yang lain. Saya difahamkan negara kita sudah hasilkan lebih 28 filem dalam tempoh 20 tahun. Kita juga makin banyak terbitkan filem dan siri TV animasi.
“Saya fikir kejayaan ini usaha semua pihak. Alhamdulillah dan berakhir dengan kecemerlangan di FFM (Festival Filem Malaysia) yang lalu,” ujarnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




