Berlin: Perlawanan liga divisyen tiga Jerman terhenti seketika selepas satu mercun yang dibaling ke dalam padang menyebabkan penjaga gol mengalami kecederaan dalam insiden yang mencemaskan.
Rot-Weiss Essen sedang menentang Waldhof Mannheim apabila pada minit ke-52 perlawanan, mercun dipercayai dibaling oleh penyokong pelawat ke dalam padang.
Letupan kuat itu menyebabkan penjaga gol Essen, Felix Weinand menutup telinga sebelum rebah ke tanah dan segera diberikan rawatan oleh pasukan perubatan.
Pengadil Lennart Kernchen menghentikan perlawanan sementara waktu ketika Weinand diberikan rawatan, dengan kedua-dua pasukan meninggalkan padang.
Namun pegawai perlawanan kemudian memutuskan untuk menyambung semula aksi bagi baki separuh masa kedua ketika Essen sedang mendahului 1-0.
Walaupun perlawanan disambung, Weinand tidak mampu meneruskan aksi dan digantikan penjaga gol Austria, Tino Casali yang membantu Essen mengekalkan kelebihan sehingga meraih kemenangan.
Kelab itu kemudian mengeluarkan perkembangan keadaan Weinand yang dikejarkan ke hospital selepas insiden berkenaan.
Menurut Essen, penjaga gol itu mengalami trauma akustik serta kehilangan pendengaran yang ketara akibat letupan mercun tersebut.
Kelab juga memaklumkan Weinand tidak akan diturunkan dalam perlawanan menentang Hoffenheim II pada Sabtu ini kerana masih berada di bawah pemantauan perubatan.
Pengurus Essen, Uwe Koschinat berkata keadaan pemain itu amat membimbangkan.
“Fikiran kami bersama Felix. Keadaannya memang tidak begitu baik.
“Kesihatan pemain menjadi perkara utama dan ia sengaja diletakkan dalam risiko pada hari ini.
“Kami berharap dia tidak mengalami kesan jangka panjang kerana itu memang menjadi kebimbangan dalam situasi seperti ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




