rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dua beradik yang terselamat dalam kemalangan ngeri membabitkan lima kenderaan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara pada Isnin lalu, akan dijaga datuk dan nenek.
Muhammad Uwais Al-Qarni Khairul Ikhwan, 7, dan Nur Sofea Humaira, 4, yang dibenarkan keluar Hospital Melaka tiba di kediaman ahli keluarga mereka itu di Bangi, Selangor, pada 8.45 malam tadi.
Datuk Mazupi Abdul Rahman, 64, berkata ketika ini kedua cucunya masih bersedih dengan berita kehilangan ibu bapa dan adik bongsu mereka.
“Keadaan cucu saya stabil dan dalam proses penyembuhan. Namun mereka perlu mendapatkan rawatan susulan di Hospital Serdang.
“Doktor juga menyarankan meneruskan rawatan psikiatri di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemerhatian lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Terdahulu, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka Datuk Ngwe Hee Sem memaklumkan dua beradik terbabit dibenarkan keluar dari hospital.
Beliau dilaporkan berkata, kedua-dua beradik itu akan diiringi ahli keluarga untuk pulang ke kediaman di Bangi dengan menaiki ambulans lewat petang ini.
Mazupi berkata, beliau dan isteri akan menjaga serta menguruskan keperluan termasuk persekolahan dua cucunya itu selepas sembuh nanti.
Ditanya mengenai keadaan terkini dua beradik itu selepas mengetahui mengenai kehilangan ahli keluarganya, beliau berkata, mereka sesekali bertanya mengenai perkara terbabit.
“Mereka ajak ke kubur untuk ziarah dan sudah tentu masih bersedih,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan dua beradik itu antara terselamat dalam nahas meragut nyawa lima ahli keluarganya iaitu ibu bapa Khairul Ikhwan Mazupi, 32 dan Fadzlenna Ramli, 32, selain adik bongsu Muhammad Umar, 2, serta datuk dan nenek mereka, Ramli Ab Wahab, 66 dan Fauziah Jaafar, 69.
Dua lagi yang maut adalah pemandu bas persiaran Noorisnien Khamid, 56 dan penumpang warga Singapura Lamrah Asid Ali, 66.
© New Straits Times Press (M) Bhd




