'Mereka berdua sangat rapat, tak sangka 'pergi' pun bersama'

'Mereka berdua sangat rapat, tak sangka 'pergi' pun bersama'

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: “Arwah adik yang dipanggil Che Su memang sangat rapat dengan Ma (ibu), mereka tak pernah berpisah ke mana-mana, tak sangka mereka juga meninggal bersama,” kata kakak mangsa kemalangan, Syasya Nadiah Mohd Sabri@Ismail, 27 yang maut dalam nahas dua kenderaan di KM 8.8 Lebuhraya Ketereh-Kota Bharu malam tadi.

Syamimi Mohd Sabri@Ismail, 36, berkata, ibunya, Wan Rohani Wan Sulaiman, 63, turut ‘pergi’ selepas dua jam adiknya meninggal dunia di lokasi kejadian ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM).

“Arwah Ma dan adik memang tak pernah berpisah, kalau pergi ke mana-mana, salah seorang tak nak pergi, dua-dua takkan pergi,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga mangsa di Jalan Hamzah, di sini, hari ini.

Syamimi yang juga anak sulung berkata, ketika kejadian ibu dan adiknya bersama bapa, Mohd Sabri@Ismail Ibrahim, 75, bersama anak saudara bapanya, Zariha Yazid, 40, dan suami, Zulkifli Abdullah, 41, menaiki Proton Exora manakala Mohd Faris menaiki motosikal ke kebun mereka di Kampung Padang Kala, Melor dalam perjalanan pulang ke rumah ke Kota Bharu sebelum berlaku kemalangan.

Syamimi berkata, jenazah adik bongsunya dan ibu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bunut Payong kira-kira jam 2 petang.

“Abah patah bahu kiri, manakala Zariha dalam keadaan stabil tapi turut mengalami patah paha kiri manakala Zulkifli cedera ringan,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, seorang maut dan lima cedera dalam kejadian kemalangan membabitkan dua kenderaan Proton Exora dan Honda City dinaiki seorang lelaki, jam 8.01 malam tadi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top