'Mereka bukan beban tapi anugerah'

'Mereka bukan beban tapi anugerah'

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Bau: Bukan hanya perlu memberi perhatian kepada seorang anak berstatus orang kurang upaya (OKU) fizikal malah Faizal Rambli turut bertanggungjawab menjaga adiknya yang Sindrom Down.

Di samping itu, Faizal, 46, perlu menguruskan kedai makan menawarkan masakan kampung yang sudah dua tahun beroperasi.

Meskipun begitu, bapa empat anak yang menetap di Taman Jambusan, dekat sini tidak pernah menganggapnya sebagai beban sebaliknya amanah dan rezeki kerana dapat menjaga dua anak syurga.

Berkongsi kisahnya, Faizal berkata, dia pernah menetap di Puncak Alam, Selangor dan bekerja dalam bidang pemasaran di sebuah syarikat namun berhenti awal 2020 selepas anak bongsunya, Aqeela Khalisa, 7, disahkan lumpuh separuh badan akibat penyakit saraf.

Demi kelangsungan hidup, Faizal mencari rezeki dengan menjual mi kolok di gerai dalam sebuah kafe di Puncak Alam sebelum pulang ke Sarawak pada akhir 2021.

“Ikutkan anak saya dilahirkan normal namun selepas 42 hari, kakinya lemah dan hasil ujian Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) di Hospital Sungai Buloh mendapati dia ada penyakit saraf sebelum lumpuh.

“Bermacam ikhtiar saya dan isteri lakukan untuk sembuhkan anak selain jumpa doktor hingga pernah berhabis ribuan ringgit.

“Tapi tak diizinkan sembuh hingga dengan berat hati saya terpaksa berhenti kerja untuk bantu isteri uruskan anak yang juga ada masalah buah pinggang,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Faizal, dia dan isteri menerima khabar duka doktor mengenai penyakit anak mereka dengan hati terbuka.

“Apa pun, dia anugerah Allah SWT dan kami berjanji menjaganya walau apa pun.

“Aqeela sudah menjalani pembedahan tulang belakang namun kata doktor, anak saya tiada harapan sembuh namun masih menjalani pemeriksaan berkala dengan pakar neurologi di Hospital Umum Sarawak dekat Kuching.

“Saya dan isteri belum berputus asa sebaliknya makin kuat semangat dan sentiasa berdoa semoga ada keajaiban buat anak kami yang mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Bau,” katanya.

Berhubung perihal Aqmal pula, Faizal berkata, adiknya itu dijaga ibu angkat sejak kecil sebelum diserahkan wanita berkenaan tujuh bulan lalu.

“Emak angkat adik datang ke kedai dan beritahu nak serahkan semula adik kerana dia kini pun tak sihat selepas disahkan menghidap barah tahap satu.

“Nak serahkan kepada ayah tak sampai hati kerana dia sudah berusia, adik-beradik lain pula tinggal jauh jadi akhirnya saya ambil tanggungjawab itu.

“Bulan pertama agak mencabar kerana adik perlu diberi ubat penenang supaya tak agresif tapi kini dia boleh berdikari termasuk makan sendiri,” katanya.

Menurutnya, kehadiran anak dan adiknya memberi dorongan untuknya menyantuni serta membantu OKU dengan menawarkan separuh harga kepada insan istimewa yang datang makan di kedainya.

“Saya pernah bernazar untuk bantu OKU jika ditakdirkan ada rezeki buka kedai makan dan sebab itu juga saya beri separuh harga kepada golongan berkenaan.

“Setakat ini, itu saja mampu saya lakukan dan mana tahu satu hari nanti boleh beri OKU makan percuma pula bila ada rezeki lebih.

“Itu harapan saya selain nak besarkan anak sehingga dia dewasa dan terus jaga adik. Kalau boleh, saya nak mereka jadi contoh OKU lumpuh dan Sindrom Down juga boleh berjaya atau sekurang-kurangnya berdikari,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top