redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ketika murid lain berehat selepas pulang dari sekolah, lain pula kisahnya dengan dua beradik ini yang membantu menjual ayam goreng di gerai bapa mereka.
Begitulah rutin harian Aryan Mikhail, 12, dan adiknya, Aryana Mikhaila, 11, sejak ibu mereka, Masdiana Jaafar, meninggal dunia tiga tahun lalu akibat Systemic Lupus Erythematosus (SLE) iaitu penyakit autoimun yang serius.
Bapa mereka, Mohd Hadzrul Nizam Mamat, 39, atau mesra disapa Tom, berkata, dia tidak memaksa, namun dua anaknya sendiri yang mahu membantunya mencari rezeki di gerai.
Sebagai bapa, Tom bersyukur kerana adanya Aryan Mikhail dan Aryana Mikhaila sebagai penemannya ketika di gerai.
“Ikutkan, sejak arwah emak mereka ada lagi, mereka sudah bantu di gerai. Tapi selepas emak mereka tiada, boleh dikatakan setiap hari mereka akan bantu dan singgah ke gerai selepas balik sekolah.
“Mereka tak merungut pun dan kalau letih, saya akan minta mereka berehat di gerai. Di gerai pun anak tak bantu buat kerja berat kerana setakat tolong layan dan bungkus makanan buat pelanggan yang datang,” katanya ketika ditemui Harian Metro di gerainya dekat Desa Pandan, di sini.
Bercerita lanjut kisahnya, Tom berkata, hidupnya agak kelam-kabut selepas ketiadaan isteri yang juga membantunya di gerai ketika hayatnya.
“Tapi disebabkan saya sudah biasa masak dan kemas rumah sebelum isteri pergi kerana dia tak sihat, jadi boleh sesuaikan diri.
“Cuma setengah tahun juga tak berniaga selepas isteri tiada kerana nak pulihkan semangat dan tenangkan diri… waktu itu pun hampir setiap hari saya bawa anak ke pusara isteri.
“Kini emosi saya sudah semakin baik kerana sudah dapat terima pemergian isteri walaupun masih teringatkan kenangan dengannya,” katanya.
Menurut Tom, sejak bergelar bapa tunggal, dia juga tidak dapat lari daripada masalah kerana hilang isteri yang menjadi teman hidupnya selama 11 tahun.
“Cuma saya lelaki jadi bila ada masalah memang tak cerita kerana lebih suka pendam.
“Ia kerana saya fikirkan anak perlukan saya tapi saya bersyukur kerana keluarga saya dengan mentua banyak membantu jika ada masalah.
“Saya hargai pertolongan mereka dan selagi ada kudrat, saya akan terus galas tanggungjawab besarkan mereka kerana ia amanah dan ‘harta’ peninggalan isteri buat saya,” katanya yang menjadi peniaga ayam goreng sejak berhenti kerja sebagai kakitangan syarikat kurier pada 2017.
© New Straits Times Press (M) Bhd




