mohamadridzuan@hmetro.com.my
PEJAM celik, sudah enam tahun pelakon cantik Sharifah Husna Syed Faisal melayari bahtera perkahwinan bersama suami tercinta, Halim Radzi.
Bagaimanapun, pelakon yang memulakan karier sebagai model ini enggan berbasa-basi mengenai kehidupan peribadi berbanding kariernya.
Husna, 33, pantas menepis apabila ditanya mengenai perancangan cahaya mata bersama suaminya yang juga seorang pelakon.
“No comment,” jawabnya tenang sekali gus memberi pengertian tidak mahu berkongsi kisah rumah tangganya untuk tatapan umum.
Biarpun soal peribadi disimpan rapi, kerjaya seninya terus mekar dalam industri hiburan tanah air.
Terbaharu, kemunculannya dalam drama Doa Yang Terlindung yang baru berakhir tayangannya di slot Akasia TV3.
Husna ternyata cemerlang sebagai seorang peguam apabila lakonannya berjaya mencuri perhatian peminat setia drama tempatan.
Watak peguam bernama Aisha yang dibawanya bukan sekadar tempelan semata-mata, sebaliknya menyedari bahawa watak terbabit dicipta khas untuk memberi impak besar kepada plot penceritaan.
“Peguam Aisha digambarkan sebagai simbol harapan buat watak heroin, Anisah (Sharifah Rose). Dia hadir sebagai penyelamat ketika Anisah melalui fasa paling sukar dan getir dalam hidupnya.
“Sebenarnya ini bukan kali pertama saya menyarung jubah peguam di set penggambaran. Sebelum ini, saya pernah membawakan watak serupa dalam siri Astro Original, Jack Yusof.
“Namun walaupun sudah berpengalaman, saya mengakui setiap watak profesional seperti peguam ada cabaran tersendiri dari segi pembawaan karakter,” katanya.
Kemunculan Husna di slot Akasia TV3 bukan sesuatu yang asing. Sebelum Doa Yang Terlindung, dia baru sahaja muncul dalam drama Setia Itu Mahal yang disiar tahun lalu.
Menariknya, dek kerana impak watak antagonisnya sebagai Tengku Natasya dalam drama itu, penonton masih terbawa-bawa dengan karakter terbabit.
“Mereka masih lagi panggil saya Tengku Natasya. Maknanya lakonan saya ini berjaya dan ia sesuatu yang positif buat saya. Kiranya saya sudah berjaya membuktikan mampu bawa karakter begini.
“Untuk watak Aisha pula, saya kena buat persediaan lebih rapi berbanding watak-watak yang pernah dibawakan sebelum ini. Saya perlu mendalami istilah-istilah perundangan yang teknikal.
“Bukan itu sahaja, etika dan tingkah laku di dalam mahkamah juga harus dipelajari dengan teliti. Cara bertutur dan berinteraksi sebagai seorang pengamal undang-undang juga sangat berbeza,” katanya.
Watak ini juga menuntut ketegasan, namun tetap mengekalkan profesionalisme yang tinggi di kalangan pengamalnya.
Melangkah ke tahun 2026, Husna menganggap setiap peluang yang datang sebagai satu permulaan yang baik. Dia sentiasa mengamalkan minda yang positif dalam setiap langkah.
“Insya-Allah, setiap tahun saya sentiasa memulakannya dengan pemikiran positif,” katanya optimis mengenai perjalanan seninya tahun ini.
Ketika artikel ini ditulis, Husna sebenarnya berada jauh di Istanbul, Turkiye. Namun ia bukan atas urusan kerja yang padat serta memenatkan.
Sebaliknya, Husna mengambil peluang berehat seketika dan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga tersayang di kota bersejarah terbabit.
Ditanya mengenai impiannya, selepas sembilan tahun bergelar pelakon, Husna mengakui masih dahaga cabaran.
“Saya teringin untuk mencuba nasib dalam naskhah bercorak aksi pula,” katanya.
Sembilan tahun dalam industri bukan tempoh yang singkat, malah Husna amat menghargai kelompok penyokong yang sentiasa menjadi tulang belakang selama ini.
“Mereka menjadi punca mengapa saya sentiasa menjaga nama baik, mengelak kontroversi dan menghargai setiap sokongan mereka.
“Sudah tentu setiap pelakon ada impian memenangi anugerah suatu hari nanti, tetapi selagi saya dikurniakan kesihatan yang baik dan dapat melakukan apa yang saya cintai, saya bersyukur,” katanya.
Selain berlakon, Husna sibuk mengurus perniagaan keluarga.
Malah, dia memberi bayangan akan berkongsi projek ‘Rumah Kampung’ milik ibunya yang bakal dibuka untuk penggambaran dan acara tidak lama lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




