surayaroslan@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Demi keselamatan, anak yang dilahirkan akibat sumbang mahram sewajarnya dipisahkan dan ditempatkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Presiden Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal (Witus) Shiella Tukimin berkata, selagi si bapa tidak dihukum dan disabit bersalah, tidak selamat untuk anak-anak mangsa dibiarkan berdekatan dengan lelaki itu.
“Anak mangsa hasil sumbang mahram ini perlu berada di bawah JKM atau tempat selamat sehingga lelaki berkenaan dihukum oleh mahkamah.
“Tidak mustahil episod hitam yang berlaku ke atas mangsa, boleh berlaku ke atas anak mangsa juga, jadi sebaiknya asingkan anak itu terlebih dulu.
“Jika (keadaan) sudah selamat (apabila pelaku dihukum), maka mangsa boleh membuat keputusan sama ada mahu menjaga anak itu atau sebaliknya,” katanya.
Shiella berkata, dia berharap lelaki itu dikenakan hukuman paling berat kerana merosakkan masa depan anak kandungnya sehingga melahirkan dua anak akibat perbuatan sumbang mahram.
“Hari ini memang rakyat Malaysia marah dengan perlakuan bapa ini, dan berharap dia menerima hukuman paling berat,” katanya.
Ditanya tindakan ibu mangsa yang mendiamkan diri mengenai kejadian hitam itu, Shiella berkata, dalam keadaan terbabit terdapat kemungkinan sama ada wanita berkenaan diugut oleh suaminya atau malu.
“Dalam hal ini, sepatutnya perasaan malu tolak ke tepi, ini sudah membabitkan nyawa dan maruah anak,” katanya.
Jumaat lalu, polis menahan suami isteri berusia awal 40-an di Port Dickson, Negeri Sembilan selepas anak mereka berusia 20 tahun mendakwa dirogol bapa kandungnya sejak lapan tahun lalu sehingga melahirkan dua anak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




