Mereka rajin bekerja – Awie bakal naungi semula Kristal

Mereka rajin bekerja – Awie bakal naungi semula Kristal

KUALA LUMPUR: Penyanyi Rock bertaraf legenda, Datuk Awie bersedia untuk membantu menaikkan semula nama kumpulan Kristal dalam arena muzik Rock tanah air.

Sedar kredibiliti perlu digilap, Jelas Awie, 57, beliau terbuka untuk membantu menyusun semula hala tuju kumpulan itu agar satu hari nanti mereka menjadi pelapis bagi kumpulan Rock sedia ada.

“Sekitar dua bulan lalu mereka datang ke rumah saya, bertanya khabar. Ketika itu saya bertanya kepada mereka mahu atau tidak bernaung di bawah RPM, mereka menjawap ya.

“Saya sedia untuk menjaga dan membentuk semula muzik mereka. Bukan untuk menganggu hala tuju mereka. Tetapi untuk memberi input atau idea agar muzik mereka menjadi lebih bagus.

“Sekarang ini saya sibuk dengan beberapa projek. Insya-Allah, sebaik sahaja projek-projek ini selesai, saya akan mengikat mereka dan beberapa lagi artis untuk bernaung di bawah RPM,” katanya ketika ditemui media selepas selesai sesi latihan konsert 3 Veto di Sungai Buloh, semalam.

Awie atau nama penuhnya, Ahmad Azhar Othman berpandangan kumpulan tersebut sebagai pemuzik yang bagus dan rajin membuat latihan untuk mengasah bakat mereka.

Sebab itu beliau terpanggil untuk menjaga Kristal dan membantu mengatur perjalanannya di bawah produksi miliknya.

“Saya melihat perkembangan mereka sejak mereka di usia kanak-kanak lagi. Sebab itu saya terpanggil untuk menaungi mereka semula.

“Dan sampai ke hari ini mereka rajin bekerja. Semakin hari prestasi mereka semakin bagus.
Saya nak menyambung semula kenangan lama kami dengan merancang sesuatu untuk mereka, Insya-Allah,” ujarnya.

Dalam pada itu, vokalis kumpulan Wings itu memaklumkan yang beliau ingin melihat kumpulan berkenaan muncul dengan album baharu selain menyusun strategi untuk menaikkan semula kumpulan itu.

“Mereka sedang menyiapkan lagu berbahasa Inggeris. Itu bagus, cuma kita cuba perbaiki apa yang kurang untuk mencantikkan lagi lagu itu.

“Pada saya nyanyian Ewal selaku vokalis juga bagus. Tinggal lagi kita memperbetulkan sedikit bunyi atau melakukan penambahbaikan lain.

“Selepas ini saya mahu mereka hasilkan album yang baharu, tidak lagi menyanyikan semula lagu band lain. Insya-Allah, selesai semua kepadatan kerja, saya akan berikan pula tumpuan kepada Kristal,” kongsinya.

Dalam pada itu, Awie berharap untuk membawa Kristal ke pentas yang lebih besar selain menjadikan Festival jualan sebagai pentas untuk menunjukkan bakat mereka.

“Itu pencarian rezeki mereka, mungkin belum sampai masanya lagi untuk mereka pergi ke pentas yang lebih besar.

“Saya cuba menggilap lagi Kristal ini untuk menjadi band yang bagus supaya permintaan untuk mereka membuat persembahan di tempat lain akan melonjak,” kongsinya. – UTUSAN

Scroll to Top