am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pendakwaan lebih cenderung mengutamakan keterangan yang tidak memihak kepadanya, walaupun keterangan saksi mereka sendiri bercanggah sesama sendiri.
Najib, yang memberikan keterangan membela diri pada perbicaraan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), berkata perkara itu dilihat melalui pemerhatiannya ketika menjawab soalan peguam bela, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin.
Menurut Najib, sebagai contoh, walaupun lima saksi pendakwaan termasuk dari AmBank mengesahkan surat derma Arab wujud sebelum 2015, pendakwaan memilih untuk mengutamakan keterangan bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan, berbanding yang lain.
Lima saksi terbabit adalah bekas Pengarah Urusan Kumpulan AmBank Cheah Teak Kuang, bekas Pengurus Perhubungan AmBank Joanna Yu, bekas Ketua Pasaran Modal Perbankan Swasta Yap Wai Keat, bekas Pengurus AmBank Uma Devi, dan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.
“Nampaknya keutamaan ini timbul daripada fakta bahawa dakwaannya (Jasmine) itu akan menjejaskan pembelaan saya, bahawa empat surat derma itu wujud sebelum tahun 2015.
“Surat ini adalah teras kepada kepercayaan saya yang tulen dan jujur bahawa dana yang saya terima adalah derma seperti yang dijanjikan oleh Almarhum Raja Abdullah.
“Di sebalik bukti yang jelas dan kukuh ini, SPRM dan pendakwaan memilih untuk menerima keterangan Jasmine secara keseluruhan walaupun jika dilihat kembali, sangat tidak munasabah, seolah-olah adegan dari filem Bollywood,” katanya.
Najib berkata, malah Joanna, Yap, dan Uma mengesahkan bahawa apabila dana dihantar ke akaun AmIslamic Bank miliknya antara 2011 hingga 2014, mereka bergantung pada surat derma sebagai dokumen sokongan.
Katanya, ia bertentangan dengan keterangan Jasmine bahawa surat derma terbabit dibuat pada tahun 2015.
Jasmine dalam keterangannya pada Februari lalu berkata, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, telah mengarahkan mendiang Kee Kok Thiam menyediakan surat pengesahan daripada Putera Saud Abdul Aziz Al-Saud bagi menyatakan dana yang dimasukkan ke dalam akaun Najib adalah derma dari Arab Saudi.
Jasmine berkata, kejadian itu berlaku di bilik ‘Business Centre’ di Hotel Mayfair di London ketika Jho Low meminta beliau menemuinya pada awal 2015.
Kee, yang disiasat SPRM kerana disyaki menerima wang daripada dana 1MDB dan SRC International yang hilang sejak 2018, pulang ke Malaysia pada 3 Mei 2023.
Bagaimanapun, beliau dilaporkan meninggal dunia disebabkan serangan strok secara tiba-tiba pada 29 Mei tahun sama.
© New Straits Times Press (M) Bhd