RODA Islam, suatu masa berada di puncak, ada kalanya menjunam. Menggapai kejayaan sudah tentu menjadi objektif semua pihak, apatah lagi ia selari dengan janji Allah dan RasulNya. Tetapi roda itu akan terus berputar, sekalipun tidak ada lagi Rasul bersama kita.
Itulah yang pernah dirasai oleh Umar Al Khattab, tatkala mendengar turunnya ayat yang menjelaskan perihal ajaran Islam telah sempurna.
Para Sahabat bergembira, sebaliknya Umar R.A. berduka, kerana dekat dengan pemergian insan yang dikasihi. Ketika ajaran sudah sempurna, apa perlu lagi Rasul bersama kita?
Belajar dari runtuhnya Daulah-daulah Islam, karya Dr. Abdul Halim Uwais (tajuk asalnya Mempelajari kejatuhan 30 kerajaan Islam sepanjang Zaman) merupakan himpunan siri fasa kejatuhan Kerajaan Islam, bermula di era Bani Umayyah hingga Bani Usmaniah.
Biasanya untuk kita menggapai sesuatu kejayaan, kita akan membelek dan meneliti sejarah kegemilangan sesuatu negara atau ketuanya. Tetapi terkadang perlu juga untuk menghayati era kejatuhan supaya lebih banyak yang dapat dipelajari.
Pengarang memulakan bicara dengan pelajaran kekalahan umat Islam dalam Perang Poiter/ Battle of Tour, yang dipimpin oleh Abdul Rahman Al Ghafiqi di era Khalifah Al Walid bin Abd. Malik.
Sebagaimana Perang Uhud yang berkecamuk disebabkan ingin merebut harta ghanimah, maka begitu jugalah perihal yang sama berlaku dalam perang tersebut hingga gugurnya Abdul Rahman Al Ghafiqi terkena panahan musuh.
Walhal sejak dari awal umat Islam telah berjaya membuka sedikit demi sedikit wilayah Perancis. Malangnya, ia kandas di fasa akhir sewaktu pasukan umat Islam membawa pulang ghanimah yang menimbun.
Menurut Seid Mahmud Khattab, menerusi karyanya Ar Rasul Al Qaid, di antara faktor serangan mengejut Musyrikin Makkah ketika Uhud adalah disebabkan, umat Islam tidak menghalau atau menunggu musuh hingga mereka pulang barulah mengambil harta.
Sebaliknya sifat tamak menguasai menyebabkan mereka turun awal, lalu memberi peluang musuh membuat counter attack.
Begitu jugalah yang dihadapi oleh Abdul Rahman Al Ghafiqi, musuh masih berada berdekatan, mereka giat mengumpul dan membawa pulang ghanimah.
Musuh membuat serangan hendap dari arah belakang pasukan yang membawa harta, lalu pasukan di barisan hadapan menumpu di belakang, akhirnya datang pula pasukan lain menyerang pasukan di hadapan menjadikan umat Islam kucar-kacir dan terkepung.
Ketahuilah, tamakkan kebendaan itu sememangnya kunci meranapkan segalanya. Menarik untuk dibaca.
USTAZ MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
Penolong Rektor II (Hal Ehwal Pelajar)
Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) – HARAKAHDAILY 1/9/2023
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.