Penyanyi popular Misha Omar ternyata masih berbisa walaupun kurang mengadakan konsert seperti kebanyakan rakan artis tanah air.
Membuka showcase dengan penampilan anak lelakinya, Muhammad Idris Ezzwa, rata-rata penonton yang hadir nyata terhibur dengan gelagat si kecil genius itu tatkala memperkenalkan ibunya kepada khalayak.
Showcase yang dihadiri kira-kira 2,000 peminat itu terus dihangatkan dengan kemunculan penyanyi bersuara emas itu menerusi lagu yang dipetik dari album ketiganya iaitu Cinta Adam & Hawa dan Sembunyi.
Tampil dengan busana berona merah dan hitam, Misha kelihatan anggun dan versatile tatkala tampil di atas pentas mendendangkan lagu-lagu hitnya seperti Dedebu Cinta, Tiada Ruang Untukmu, Tidak Aku Mengerti, Semoga Abadi, Masihkah Ada Rasa itu, Bunga-Bunga Cinta, Sampai Bila serta lagu ‘berhantu’ miliknya berjudul, Pulangkan dan Ku Seru.
Sesuai imejnya yang gemar membuat persembahan dengan gaya ala story telling beserta mimik muka yang bersahaja, Misha terus memukau peminat apabila menyampaikan lagu Halaman Cinta yang turut diberi nafas baru menerusi gubahan muziknya.
Terbuai, sebak dan rasa intimate, pastinya peminat dan penonton yang hadir berasa puas menyaksikan persembahan Misha di pentas showcase Back To Basic kali ini.
Mana tidaknya, mengejutkan hampir 2,000 penonton yang hadir apabila bertindak mencabar dirinya menyanyikan lagu Oops! I Did It Again serta Bye Bye Bye nyanyian asal Britney Spears dan NSYNC secara ‘mashup’, Misha tampil beraksi lincah juga ketika menyampaikan lagu Dolla berjudul, Watch Me Glow.
“Tidak dinafikan saya penyanyi paling malas bergerak. Saya belajar menari hanya tiga kelas dan setiap sesi 40 minit disebabkan kesibukan saya.
“Jadi, sudah tiba masanya untuk ‘si ketam tua jalan kiri kanan depan belakang’. Memang sukar pada mulanya tapi saya suka.
“Orang pun tak tahu mereka berusia 40-an juga sukakan Dolla. Lirik lagu mereka bagus sekali, sangat memberi inspirasi. Jadi, saya cubalah,” katanya.
Walaupun sudah berada dalam industri selama dua dekad, Misha yang sentiasa positif dan membumi ini turut menghargai karya penyanyi muda tanah air seperti Ernie Zakri, Nabilah Razali dan Aina Abdul apabila mengambil peluang keemasan itu untuk menyanyikan lagu-lagu popular mereka.
Tidak habis disitu, momentum persembahan showcase yang diberikan penyanyi berusia 42 tahun ini ketika menyampaikan seleksi hit antarabangsa seperti Die With A Smile nyanyian asal Bruno Mars bersama Lady Gaga yang disampaikan secara duet dengan penyanyi, Hariz Fayahet selain lagu Badai Telah Berlalu, Sialan serta Kupu-Kupu membuktikan Misha layak berada dikelasnya tersendiri.




