Merindui anak lelaki 18 tahun

Merindui anak lelaki 18 tahun

Lenggong: Rakyat Malaysia Norida Akmal Ayob yang berjaya dibawa pulang ke tanah air pada Sabtu lalu bersyukur kerana kesukaran hidup selama 18 tahun terkandas di negara orang berakhir.

Norida, 45, berkata, dia mengikut suami ke kampung halaman di Lombok, Indonesia pada 2007, iaitu dua tahun selepas berkahwin, namun kehidupan berubah apabila perkahwinan itu tak seperti diharapkan.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, kehidupan sebagai isteri kepada pesawah pada awalnya sangat sederhana, namun status warga asing tanpa dokumen sah menyukarkan pergerakan dan menyebabkan dirinya tidak tenang.

“Bekas suami bukan sahaja gagal menguruskan pendaftaran pernikahan dan visa saya, malah membiarkan status kewarganegaraan saya dan anak sulung tergantung dengan menggunakan dokumen palsu melalui jalan belakang untuk meneruskan hidup,” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Sapi di sini.

Wanita itu mendakwa perkahwinan tidak bahagia sebelum bercerai setahun lalu dan sejak itu hilang tempat bergantung serta diusir dari rumah keluarga bekas suami sehingga pernah menahan lapar seharian kerana tidak mempunyai wang membeli makanan.

Norida melakukan pelbagai pekerjaan termasuk tukang sapu, mengambil upah mencuci baju dan pembantu kedai makan dengan pendapatan tidak menentu sebelum kehidupan menjadi lebih baik selepas bertemu seorang wanita di surau.

“Wanita itu menawarkan kerja sebagai pembuat kuih dan mengizinkan saya tinggal di rumah pusaka ibunya yang kosong secara percuma,” katanya.

Norida berkata, hasil menjual kuih sekitar 25,000 hingga 80,000 rupiah Indonesia (kira-kira RM7 hingga RM24) sehari digunakan sebaik mungkin meneruskan kehidupan di sana.

Walaupun selamat kembali ke Malaysia bersama-sama anak sulungnya Nurfatin Akmadiana Badi, 20, wanita itu berkata, merindui anak bongsu berusia 18 tahun yang masih berada di Lombok.

“Anak lelaki saya mahu ikut ke Malaysia, tetapi terhalang disebabkan masalah duit. Dia masih selamat di sana kerana warga Indonesia dan usaha membawanya ke sini sedang dilakukan,” katanya.

Mengenai perancangan selepas ini, Norida berkata, masih bingung serta trauma dengan apa dilaluinya dan mahu bertenang sebelum memutuskan langkah seterusnya.

Norida dan Nurfatin tiba di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) pada Sabtu lalu, selepas Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah memulakan usaha membawa mereka pulang.

Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata, kepulangan dua beranak itu hasil kerjasama Wisma Putra melalui Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Jabatan Imigresen Malaysia dan pihak berkuasa Indonesia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top