“Merisik Di Media Sosial Mungkin Ada…” – Dr Fie Jawab Spekulasi Sudah Jumpa Pengganti

“Merisik Di Media Sosial Mungkin Ada…” – Dr Fie Jawab Spekulasi Sudah Jumpa Pengganti

Bekas isteri kepada penyanyi Nubhan, Dr Fie tampil memperjelaskan spekulasi yang mendakwa dia sudah menemui pengganti hati sehingga dikatakan menerima rombongan merisik daripada seorang lelaki misteri.

Menurut Dr Fie atau nama sebenarnya, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, 37, perkara itu tidak benar kerana setakat ini belum ada mana-mana lelaki yang datang bertemu keluarganya secara rasmi untuk menyatakan hasrat memperisterikannya.

“Merisik di media sosial itu mungkin ada, tapi merisik secara formal itu tak ada lagi.

“Masih baru sangat, kita enjoy single-single dulu,” katanya.

Dr Fie berkata, sejak selesai menjalani tempoh iddah, semakin ramai lelaki cuba berkenalan dengannya menerusi media sosial.

Bagaimanapun, dia mengakui masih berhati-hati dengan perkenalan secara maya walaupun tidak menolak kemungkinan jika jodohnya ditemukan dengan cara tersebut.

“Saya rasa mungkin mereka tahu saya sudah habis idah. Dulu tak ada pula macam ni, sejak kebelakangan ini saja.

“Biasalah, dekat media sosial semua orang boleh cuba. Cuma sekarang kita tak percaya sangat. Tapi kalau Allah kata jodoh jumpa dekat media sosial, kita nak cakap apa kan,” ujarnya.

Dr Fie berkata demikian ketika ditemui di rakaman Melodi Raya 2026, baru-baru ini.

Dalam masa sama, Dr Fie menegaskan dia tidak pernah menutup pintu hati untuk kembali berumah tangga, namun pengalaman lalu membuatkan dia lebih berhati-hati dalam memilih pasangan.

“Bila pernah berpisah saya cuma lebih berhati-hati sebab kita pernah ada pengalaman, tapi tak adalah sampai rasa tak nak langsung.

“Sekarang saya lebih fokus kepada kerjaya dan perniagaan. Ramai juga mula bertanya sama ada saya masih doktor gigi atau tidak sebab sekarang muka saya sering ada di media sosial,” katanya.

Untuk rekod, Dr Fie dan Nubhan mendirikan rumah tangga pada 20 Ogos 2015 sebelum sah bercerai talak dua pada Disember 2025.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 9, Ahmad Aafan, 7, dan Afzan Nayille, 4.

Artikel Berkaitan: “Saya Ingatkan Kalau Up Di Media Sosial Dia Takut Nak Pijak, Tapi Lagi Lantang”- Dr Fie Tawfek

Artikel Berkaitan: Dr. Fie Hilang Sabar, Dakwa Nubhan Campak Barang Peribadi Tanpa Belas Kasihan – “Semudah Itu Awak Buang Saya”

Scroll to Top