Chateauroux: Pelumba Soudal Quick-Step, Tim Merlier memenangi peringkat kesembilan Tour de France (TdF) selepas memintas saat akhir mendahului garisan penamat di Chateauroux, menewaskan pelumba Itali Jonathan Milan dan Arnaud De Lie dalam pecutan dramatik.
Namun, sorotan hari itu juga tertumpu kepada aksi penuh keberanian Mathieu van der Poel, yang melakukan serangan jarak jauh sebelum usahanya dipatahkan hanya 700 meter (m) sebelum penamat.
Perlumbaan sejauh 199 kilometer (km) dari kawasan ladang anggur Chinon bermula dalam cuaca panas terik, dengan Van der Poel dan rakan sepasukannya, Jonas Rickaert, melakukan pemisahan awal dan membina kelebihan sehingga 5 minit 30 saat di laluan rata menuju ke Chateauroux.
Rickaert akhirnya kecundang 10km sebelum tamat dan dianugerahkan pelumba paling menyerlah (combativity award), manakala Van der Poel terus menekan sehingga hampir ke penghujung perlumbaan sebelum ditelan kelompok utama.
“Aksi Van der Poel memang luar biasa. Walaupun gagal sampai ke garisan penamat, dia tetap mencuri perhatian dengan semangat juangnya,” ujar pengulas Eurosport.
Ketika Van der Poel ditangkap, Milan kelihatan hampir pasti meraih kemenangan keduanya berturut-turut, namun Merlier bijak memintas pada jarak 50m terakhir, menjadikan ini kemenangan keduanya dalam edisi 2024 selepas peringkat ketiga di Dunkirk, dan yang ke-12 musim ini.
Kedudukan keseluruhan tidak berubah dengan Tadej Pogacar kekal selaku pendahulu, 54 saat di hadapan Remco Evenepoel, manakala pelumba muda Perancis, Kevin Vauquelin, berada di tempat ketiga.
Bagaimanapun, Pogacar menerima tamparan apabila rakan sepasukannya, Joao Almeida, menarik diri susulan kecederaan tulang rusuk akibat insiden di Mur de Bretagne dua hari lalu.
Peringkat ke-10 yang berlangsung esok dijangka mencabar dengan lapan pendakian di Massif Central, bertepatan dengan sambutan Hari Kebangsaan Perancis pada 14 Julai.
© New Straits Times Press (M) Bhd