am@hmetro.com.my
Teluk Intan: Lima lagi lelaki ditahan polis menjadikan seramai 12 individu ditahan kerana terbabit merusuh semasa perlawanan bola sepak di Padang Speedy, di sini.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, lima lelaki berusia antara 20 hingga 30 tahun itu ditahan petang ini.
Katanya, tujuh suspek yang ditahan sebelum ini berkaitan kes sama sudah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
“Kertas siasatan berhubung penahanan tujuh lelaki terbabit akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan arahan lanjut.
“Permohonan reman akan dibuat terhadap lima lelaki yang ditahan petang tadi akan dibuat pagi esok,” katanya
Jumaat lalu, Bakri mengesahkan penahanan tujuh lelaki kerana terbabit merusuh semasa perlawanan bola sepak di Padang Speedy pada Khamis lalu, dengan tujuh suspek berkenaan berumur antara 21 hingga 31 tahun direman hingga hari ini.
Insiden dikatakan berlaku ketika separuh masa kedua perlawanan bola sepak Liga Integriti Hilir Perak 2025 pada petang Khamis membabitkan dua pasukan iaitu Padang Tembak FC dan Jenderata FC.
© New Straits Times Press (M) Bhd