Pelakon, Fify Azmi mendedahkan dirinya menjadi mangsa pengkhianatan dipercayai dilakukan oleh teman lelakinya yang didakwa berlaku curang.
Sekadar berkongsi pengalaman peribadi
Pendedahan itu dibuat sendiri oleh Fify atau Nur Afiqah Mohamed Azmi, 36, menerusi satu hantaran di Threads.
Menurut Fify, dia tidak pernah menyangka perlu berkongsi kisah peribadinya kepada umum, namun berharap pengalaman tersebut dapat dijadikan pengajaran buat wanita lain agar lebih mempercayai naluri sendiri.
“Tak pernah terfikir saya perlu berkongsi perkara seperti ini. Tetapi jika ia dapat membantu walaupun seorang wanita untuk lebih mempercayai naluri sendiri, maka ia berbaloi untuk dikongsikan.
“Ini adalah peringatan bahawa pengkhianatan tidak semestinya datang daripada orang tidak dikenali, dan kesetiaan bukanlah sesuatu yang boleh dianggap pasti hanya kerana seseorang itu kelihatan baik, baik hati atau nampak alim dan beragama,” katanya.

Kongsi perbualan bekas kekasih dengan wanita terbabit
Dalam hantaran sama, Fify turut memuat naik beberapa tangkap layar perbualan antara teman lelakinya dengan seorang wanita yang identitinya tidak didedahkan.

Dia menyatakan pengalaman pahit itu membuka matanya untuk menerima hakikat bahawa tidak semua orang ditakdirkan untuk kekal dalam hidupnya.
“Ada pengkhianatan yang tidak memusnahkan diri kita. Sebaliknya, ia membuka mata tentang siapa yang sebenarnya tidak ditakdirkan untuk terus berada dalam hidup kita,” luahnya.
Dalam pada itu, Fify berkata dia kini memilih untuk meneruskan kehidupan dan lebih menghargai ketenangan jiwa berbanding memaksa kesetiaan daripada individu yang tidak menghargai hubungan yang dibina.
“Saya sudah melangkah ke hadapan dan belajar bahawa ketenangan jiwa jauh lebih berharga daripada memaksa kesetiaan daripada orang yang salah,” ujarnya.


Menerusi tangkap layar tersebut, individu terbabit dipercayai teman lelaki Fify mengajak wanita berkenaan datang ke rumahnya.
Walau bagaimanapun, tujuan wanita itu datang ke rumah lelaki terbabit tidak didedahkan, namun sempat membincangkan tentang ‘cadar’ dan ruangan bilik tidur.
Sumber: Thread fifyazmi




