Pelakon, Adam Corrie terus memainkan peranan sebagai anak sehingga ke detik terakhir hayat ibunya biarpun mendiang menganut agama berbeza.
Menerusi hantaran di Instagram (IG) miliknya, Adam atau nama penuhnya Adam Corrie Lee Abdullah berkata, perbezaan akidah tidak pernah menjadi alasan untuk dirinya menjauh, sebaliknya tetap berbakti seperti biasa.
“Walaupun saya dan ibu berlainan agama, sebagai anak saya tetap berada di sisi sampai ke akhir. Itu tanda kasih sayang dan penghormatan.
“Sebagai seorang Muslim, saya jaga batas agar tidak melanggar syariat. Islam tidak pernah memutuskan hubungan kekeluargaan, apatah lagi dengan ibu yang melahirkan kita,” katanya.
Menurut Adam, selepas selesai urusan di hospital pagi tadi, jenazah ibunya dibawa ke kuil bagi memberi peluang kepada ahli keluarga dan sanak saudara memberikan penghormatan terakhir sebelum disemadikan Rabu ini.
Terdahulu, Adam berkongsi berita duka mengenai pemergian ibunya pada 6 November lalu.





