“Jika ada syarikat produksi tawarkan kami berlakon bersama, saya terima,” demikian respons pelakon dan penyanyi jelita, Diana Danielle yang tidak kisah bekerjasama bersama suami, Farid Kamil.
Memetik laporan Berita Harian, Diana berkata dia memilih untuk bersikap profesional, sekali gus tidak mencampur aduk urusan peribadi dan kerja.
“Saya tiada masalah hendak mempromosikan Baran. Jika ada syarikat produksi tawarkan kami berlakon bersama, saya terima.
“Sebagai pelakon, saya akui Farid berkaliber. Sesiapa sahaja yang digandingkan dengan Farid pasti sangat beruntung.
“Dia berbakat, lagipun Farid sudah bina nama dengan lama dalam bidang lakonan.
“Bagi saya dunia ini kecil. Pusing-pusing, jumpa orang sama. Jadi, saya sangat berbesar hati dan sanggup menimbang jika ditawarkan berlakon bersama Farid selepas ini,” katanya.
Mengulas mengenai proses perceraian mereka, Diana bagaimanapun memaklumkan dia tidak menghalang anak-anaknya, Muhammad, 12 dan Nur Aurora, 10 untuk berjumpa Farid.
“Biasanya, jika hendak berjumpa anak, Farid akan hubungi mereka sendiri. Kemudian, Muhammad dan Aurora akan beritahu bila hendak jumpa bapa mereka,” katanya.
Sementara itu, Diana turut menjelaskan dia tidak mengetahui mengenai kediaman milik Farid di Bandar Saujana Putra, Jenjarom, yang dikatakan mahu dilelong namun prosiding itu tidak diteruskan.
“Kami pernah duduk di rumah itu pada awal perkahwinan. Selepas itu, saya tidak ambil tahu langsung kerana itu rumah Farid,” katanya.
Artikel Berkaitan: Diana Danielle Minta Dilepaskan, Janji Gugurkan Tuntutan Nafkah Tertunggak Farid Kamil
Sumber: BH




