Messi diberi cuti selepas aksi Piala Dunia

Messi diberi cuti selepas aksi Piala Dunia

Miami: Lionel Messi dijangka terlepas dua perlawanan bersama Inter Miami serta aksi MLS All-Star selepas mengharungi jadual padat bersama Argentina di Piala Dunia, menurut laporan ESPN.

Messi dan rakan sepasukannya, Rodrigo De Paul, dilaporkan tidak akan diturunkan dalam dua aksi MLS seterusnya selepas kedua-duanya beraksi dalam kesemua lapan perlawanan Argentina di Piala Dunia.

Messi memulakan semua perlawanan dan beraksi selama 120 minit penuh ketika Argentina tewas 0-1 kepada Sepanyol pada final, Isnin lalu.

Menurut laporan sama, kedua-dua pemain yang dipilih menyertai MLS All-Star pada 29 Julai ini juga tidak akan beraksi menentang barisan bintang Liga MX.

Messi sebelum ini tidak menyertai MLS All-Star 2025 tanpa kelulusan pihak liga, menyebabkan beliau digantung bagi satu perlawanan liga bersama Inter Miami. Kali ini, kelab itu sudah memaklumkan kepada pihak MLS bahawa Messi akan terlepas aksi berkenaan.

FIFPRO, badan yang mewakili pemain bola sepak profesional dunia, mengesyorkan tempoh rehat selama 21 hari pada penghujung setiap musim bagi menjaga kesihatan pemain.

Pada tahun 2025, FIFA dan FIFPRO turut bersetuju menetapkan tempoh rehat minimum 72 jam antara perlawanan sepanjang Piala Dunia.

Messi dan De Paul dijangka tidak akan diturunkan ketika menentang Chicago Fire esok serta CF Montreal pada Sabtu.

Inter Miami kemudian akan berdepan Columbus pada 1 Ogos sebelum mengharungi kempen Piala Liga dari 5 hingga 12 Ogos, dan kembali beraksi dalam MLS pada 15 Ogos.

Sekiranya tidak cedera, kedua-dua pemain itu dijangka terlepas tiga perlawanan MLS yang berada dalam tempoh rehat 21 hari yang disyorkan.

Messi menamatkan kempen Piala Dunia dengan lapan gol dan empat bantuan jaringan, sekali gus berada di tangga kedua pemenang Kasut Emas di belakang penyerang Perancis, Kylian Mbappe.

Inter Miami kini menghuni tangga kedua Wilayah Timur MLS dengan rekod sembilan kemenangan, dua seri dan empat kekalahan, ketinggalan lima mata di belakang pendahulu, Nashville SC.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top