Messi, Miami mahu bangkit lawan Red Bulls

Messi, Miami mahu bangkit lawan Red Bulls

New Jersey: Inter Miami perlu bangkit segera selepas kekalahan memalukan 0-3 kepada FC Cincinnati apabila bertandang ke markas New York Red Bulls dalam aksi Major League Soccer (MLS), awal pagi esok.

Perlawanan ini menyaksikan bintang sensasi dunia, Lionel Messi dijangka kembali beraksi selepas rekod lima perlawanan berturut-turut menjaringkan lebih daripada satu gol dalam MLS terhenti minggu ini.

Kekalahan kepada Cincinnati bukan saja menamatkan rekod lima kemenangan berturut-turut Miami, tetapi juga memberi tamparan besar kepada pasukan bimbingan Javier Mascherano yang bakal bermain perlawanan kesembilan dalam tempoh 36 hari.

Lebih malang, penjaga gol utama, Oscar Ustari disahkan tidak akan diturunkan selepas mengalami kecederaan pada bahagian kiri badan ketika aksi tempoh hari dan digantikan oleh Rocco Rios Novo yang bolos dua kali di babak kedua.

“Saya tak boleh sahkan berapa lama dia akan berehat. Kita tunggu laporan doktor dalam beberapa hari ini. Harap tak lama,” kata Mascherano.

Sementara itu, Red Bulls kini dalam momentum terbaik, selepas mencipta kebangkitan dramatik apabila menjaringkan lima gol dalam separuh masa kedua untuk menundukkan New England Revolution 5-3, selepas ketinggalan 0-2.

Daniel Edelman, Emil Forsberg dan Eric Maxim Choupo-Moting menjadi wira kemenangan Red Bulls yang kini tidak tewas dalam tujuh aksi di laman sendiri sejak April lalu.

Namun, mereka tetap berhati-hati berdepan Miami yang pernah menewaskan mereka 4-1 di Florida pada 3 Mei lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top