Messi raih anugerah Kasut Emas MLS dua musim berturut-turut

Messi raih anugerah Kasut Emas MLS dua musim berturut-turut

London: Lionel Messi terus mengukuhkan statusnya sebagai antara pemain terbaik dunia apabila mencipta sejarah menjadi pemain pertama dalam saingan Major League Soccer (MLS) memenangi anugerah Kasut Emas (Golden Boot) dua musim berturut-turut.

Bintang Inter Miami berusia 39 tahun itu meraih anugerah berkenaan selepas muncul penjaring terbanyak liga dengan meledak 26 gol sepanjang musim ini, sekali gus mengulangi pencapaian musim lalu apabila menjaringkan 29 gol.

Lebih menarik, Messi turut menjadi pemain keenam dalam sejarah MLS yang berjaya muncul penjaring terbanyak liga lebih daripada sekali.

Dia juga mendahului carta sumbangan gol musim ini dengan 43 jaringan dan bantuan gol.

Penyerang FC Dallas, Petar Musa, menduduki tangga kedua senarai penjaring terbanyak dengan 22 gol, manakala penyerang Nashville SC, Sam Surridge, berada di tempat ketiga dengan 21 gol selepas turut meledak dua jaringan pada aksi terakhir musim biasa, Sabtu lalu.

Kejayaan individu itu hadir ketika Inter Miami menamatkan saingan di tangga kedua Persidangan Timur, sekali gus mengesahkan pertemuan dengan Columbus Crew yang menduduki tangga ketujuh dalam siri pusingan pertama playoff menggunakan format tiga perlawanan.

Miami turut mengesahkan tempat ke Liga Juara-Juara CONCACAF buat tahun keempat berturut-turut.

Dalam perkembangan sama, Messi kini menjadi pilihan utama untuk merangkul anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) MLS buat kali ketiga berturut-turut.

Sekiranya berjaya, kapten Argentina itu bakal mencipta satu lagi sejarah sebagai pemain pertama memenangi anugerah MVP MLS sebanyak tiga kali.

“Saya tidak mempunyai sebarang keraguan bahawa dia adalah yang terbaik antara semua pemain,” kata jurulatih Inter Miami, Cristian ‘Kily’ Gonzalez, ketika mengulas kehebatan Messi.

Kejayaan itu sekali lagi membuktikan keupayaan Messi untuk terus mencipta impak besar dalam bola sepak walaupun sudah berada di penghujung karier profesionalnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top