Miami: Perlawanan Finalissima antara juara Eropah, Sepanyol dan juara Amerika Selatan, Argentina yang dijadual berlangsung di Qatar pada 27 Mac ini dibatalkan susulan konflik berterusan di Timur Tengah.
Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) mengesahkan pembatalan perlawanan itu selepas situasi keselamatan di rantau berkenaan dianggap tidak sesuai untuk penganjuran aksi berprofil tinggi itu.
Menurut UEFA, keputusan berkenaan dibuat selepas perbincangan bersama pihak penganjur di Qatar.
“Selepas perbincangan dengan pihak penganjur di Qatar, kami mengumumkan bahawa disebabkan situasi politik semasa di rantau berkenaan, Finalissima tidak dapat dianjurkan seperti dirancang,” kata UEFA dalam satu kenyataan.
UEFA turut menjelaskan mereka sudah menilai beberapa pilihan lokasi alternatif serta kemungkinan menukar tarikh perlawanan, namun semua cadangan akhirnya tidak dipersetujui oleh Persatuan Bolasepak Argentina.
Argentina sebelum itu mencadangkan perlawanan diadakan selepas Piala Dunia, namun Sepanyol tidak mempunyai ruang dalam jadual untuk melaksanakannya.
Dalam pada itu, laporan ESPN menegaskan bintang Argentina, Lionel Messi tidak mempunyai sebarang kaitan dengan keputusan pembatalan perlawanan berkenaan.
Sebaliknya, pemain Inter Miami itu dikatakan melihat perlawanan itu sebagai peluang memenangi satu lagi trofi selain persiapan penting menjelang Piala Dunia akan datang.
Aksi itu juga dijangka menjadi pertemuan pertama antara sensasi muda Sepanyol berusia 18 tahun, Lamine Yamal dengan Messi yang kini berusia 38 tahun.
Finalissima mempertemukan juara Euro dengan juara Copa America dan sebelum ini pernah dianjurkan pada 1985, 1993 serta 2022.
Argentina yang juga juara dunia akan memulakan kempen Piala Dunia 2026 menentang Algeria pada 17 Jun di Kansas City, manakala Sepanyol akan membuka saingan menentang Cape Verde sehari lebih awal di Atlanta.
© New Straits Times Press (M) Bhd




