Mesyuarat khas esok nilai kesan konflik Asia Barat secara terperinci – Fadillah

Mesyuarat khas esok nilai kesan konflik Asia Barat secara terperinci – Fadillah

razis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Mesyuarat Jemaah Menteri Khas yang dijadualkan berlangsung esok akan menilai kesan jangka pendek, sederhana dan panjang terhadap negara susulan konflik yang memuncak di Asia Barat.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, mesyuarat itu turut membincangkan langkah persediaan kerajaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh memberi kesan kepada ekonomi negara serta kesejahteraan rakyat.

“Esok akan diadakan mesyuarat khas Kabinet bagi membentangkan dan membincangkan perkara ini dengan lebih terperinci termasuk melihat kesan yang mungkin berlaku.

“Perkara ini penting supaya kita dapat bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan yang mungkin timbul,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Berbuka Puasa bersama Sahabat Istimewa Indah Water Konsortium (IWK) bersama komuniti setempat dan peniaga kecil anjuran syarikat pembetungan nasional itu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam.

Fadillah berkata, PETRA adalah antara kementerian yang menganggotai jawatankuasa yang ditubuhkan bersama Kementerian Ekonomi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Bank Negara Malaysia.

Ditanya perincian lanjut berkenaan mesyuarat itu, beliau meminta menunggu sehingga esok.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji kesan konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran terhadap ekonomi negara susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, jawatankuasa khas itu dipengerusikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang akan membuat penilaian bersama Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan menteri lain yang berkaitan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top