MetMalaysia keluarkan amaran cuaca panas di Kedah, ribut petir di 5 negeri

MetMalaysia keluarkan amaran cuaca panas di Kedah, ribut petir di 5 negeri

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Status cuaca panas di Kota Setar, Kedah, terus berada pada Tahap Dua (Gelombang Haba) dengan suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah Celsius.

Menerusi kemaskini oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berdasarkan rekod bacaan suhu maksimum setakat jam 6 pagi hari ini, mendapati sebanyak lapan kawasan berada pada Tahap Satu (Berjaga-jaga).

Kawasan yang merekodkan suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius itu membabitkan Perlis, Kuala Muda, Kubang Pasu, Pokok Sena, Pendang, Padang Terap, Sik dan Baling di Kedah.

Turut merekodkan status sama adalah Hulu Perak dan Kuala Kangsar, Perak; Kuala Krai, Pasir Mas, Tanah Merah dan Machang, Kelantan; Maran dan Jerantut, Pahang; serta Segamat, Johor.

Cuaca panas berkenaan dijangka berlaku sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Sementara itu, MetMalaysia dalam kenyataan berasingan turut mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka berlaku di beberapa kawasan di lima negeri termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sehingga 1 tengah hari ini.

Kawasan yang dijangka terkesan termasuk Bagan Datuk dan Hilir Perak di Perak; Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Gombak, Kuala Langat dan Hulu Langat di Selangor serta Kuala Lumpur.

Amaran sama turut dikeluarkan kepada Jelebu, Negeri Sembilan dan Sarawak membabitkan Kapit (Bukit Mabong dan Belaga); Miri (Beluru, Telang Usan dan Marudi) serta Limbang.

Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau melebihi sejam.

Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk setiap keluaran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top