Mexico kekal status 'raja' Gold Cup

Mexico kekal status 'raja' Gold Cup

Houston: Mexico mengekalkan kejuaraan CONCACAF Gold Cup selepas menewaskan musuh tradisi, Amerika Syarikat (AS) 2-1 dalam final penuh dramatik, hari ini, sekali gus merangkul gelaran ke-10, rekod tertinggi dalam sejarah kejohanan itu.

Jaringan kemenangan hadir menerusi tandukan Edson Alvarez pada minit ke-77, melengkapkan kebangkitan Mexico selepas ketinggalan awal dalam perlawanan sengit yang mempertemukan dua kuasa besar bola sepak Amerika Utara di Stadium NRG, Houston yang dibanjiri hampir 71,000 penyokong.

Skuad muda kendalian Mauricio Pochettino yang kekurangan ramai pemain utama bermula garang apabila Chris Richards meledak gol pembukaan seawal minit ke-4.

Sepakan percuma melengkung dari Sebastian Berhalter menyebabkan kekeliruan dalam benteng pertahanan Mexico, sebelum Richards menanduk masuk bola yang terkena palang dan melepasi garisan gol.

Namun, selepas itu, dominasi beralih sepenuhnya kepada Mexico yang menguasai hampir keseluruhan separuh masa pertama. Pemain muda sensasi berusia 16 tahun, Gilberto Mora hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-24, namun rembatannya diselamatkan penjaga gol AS, Matt Freese.

Tiga minit kemudian, El Tri menyamakan kedudukan apabila Marcel Ruiz melorongkan hantaran cantik kepada penyerang veteran, Raul Jimenez, yang merembat kencang menewaskan Freese.

Jimenez meraikan gol itu dengan mengangkat jersi bernombor 20 milik bekas rakan sepasukannya di Wolves, Diogo Jota, bintang Liverpool dan Portugal yang baru meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Sepanyol minggu lalu.

Mexico terus melancarkan serangan berbahaya, dengan Freese terpaksa bekerja keras menyelamatkan percubaan Roberto Alvarado (minit ke-35) dan satu lagi rembatan deras Mora lima minit sebelum rehat.

AS hampir kembali di hadapan menerusi Alex Freeman pada masa kecederaan babak pertama, tetapi tandukannya terkena muka penjaga gol Mexico, Angel Malagon, yang bangkit daripada kesilapan sendiri.

Separuh masa kedua menyaksikan corak yang hampir sama, dengan Mexico lebih menyerlah dalam mencipta peluang manakala AS sukar untuk mencabar di bahagian serangan.

Gol kemenangan akhirnya hadir minit ke-77. Sepakan percuma Johan Vazquez ditanduk ke belakang, disambut oleh Edson Alvarez yang menanduk deras ke gawang.

Pada awalnya jaringan itu dibatalkan kerana ofsaid, namun semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) menunjukkan Alvarez berada dalam posisi sah sekali gus menyaksikan gol itu disahkan.

Kemenangan ini mengukuhkan status Mexico sebagai raja Gold Cup dengan 10 gelaran, tiga lebih banyak berbanding AS yang kini kekal dengan tujuh kejuaraan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top