am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sistem MyDigital ID menggunakan ciri Pengesahan Pelbagai Faktor (MFA) yang mewajibkan pengguna melalui lebih satu tapisan pengesahan sebelum sebarang akses diberikan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini bertujuan memperkukuh keselamatan identiti digital pengguna serta mengurangkan risiko kebocoran, penipuan, penyamaran dan kecurian identiti semasa mengakses perkhidmatan dalam talian yang diintegrasikan dengan MyDigital ID.
Beliau berkata, kerajaan kekal tegas dan komited dalam memastikan keselamatan serta perlindungan identiti digital rakyat sentiasa terpelihara.
Komitmen itu, kata beliau, selaras aspirasi kerajaan memperkukuh ekosistem digital negara di samping meningkatkan keyakinan rakyat terhadap penggunaan perkhidmatan dalam talian kerajaan.
“MyDigital ID akan terus diperkasa melalui perancangan serta pembangunan penambahbaikan jangka panjang, termasuk persediaan ke arah penggunaan teknologi Kriptografi Pasca Kuantum (PQC) sebagai langkah persediaan menghadapi ancaman siber komputer kuantum.
“Persediaan ini dilaksanakan menerusi pendekatan ‘crypto-agility’, iaitu keupayaan seni bina sistem untuk beralih kepada algoritma kriptografi baharu secara terancang, selaras perkembangan piawaian antarabangsa dan Dasar Kriptografi Negara (MyKriptografi),” katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) mengenai mekanisme keselamatan kriptografi MyDigital ID dan statistik pendaftaran dalam jawapan bertulis disiarkan di portal Parlimen malam ini.
Ahmad Zahid berkata, MyDigital ID turut menggunakan pelbagai mekanisme keselamatan kriptografi bagi memastikan kerahsiaan, integriti dan keselamatan identiti digital rakyat dilindungi sepenuhnya, antaranya Prasarana Kunci Awam (PKI).
Kata beliau, PKI adalah piawaian keselamatan menggunakan kriptografi bagi mengesahkan identiti pengguna dalam satu transaksi serta melindungi maklumat dan data daripada diakses atau diubah suai tanpa kebenaran.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Komponen PKI dan Pihak Berkuasa Perakuan tertakluk kepada kerangka Akta Tandatangan Digital 1997 (Akta 562).
“Algoritma Hashing SHA-256 digunakan MyDigital ID pula direka dengan prinsip ‘privacy by design’, iaitu data sulit pengguna tidak disimpan dalam bentuk teks biasa, sebaliknya dilindungi menggunakan teknologi kriptografi seperti hashing dan penyulitan.
“Algoritma ini diperakui dan disenaraikan di bawah Skim Senarai Algoritma Kriptografi Terpercaya Negara (MySEAL) dikawal selia Agensi Keselamatan Siber Negara, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri (NACSA, MKN JPM), selaras Dasar Kriptografi Negara (MyKriptografi).
“Penggunaan algoritma dan produk kriptografi sudah melalui proses penilaian dan pengiktirafan ini bagi memastikan kriptografi digunakan memenuhi keperluan keselamatan ditetapkan kerajaan,” katanya.
Mengenai statistik pendaftaran, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, 14.2 juta warga tempatan direkodkan sudah berdaftar dengan MyDigital ID, sehingga 7 Oktober lalu.
Daripada segi penggunaan, kata beliau, MyDigital ID secara kumulatif merekodkan 82.75 juta transaksi log masuk sejak 2024, dengan kadar penggunaan semasa melebihi 200,000 transaksi sehari.
“Peningkatan ini didorong peluasan penggunaan MyDigital ID yang kini menyokong lebih 200 aplikasi dan perkhidmatan digital sektor kerajaan dan swasta,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




