MFL: Guna saluran betul, bukan demonstrasi

MFL: Guna saluran betul, bukan demonstrasi

 

PENGENDALI Liga Malaysia (Liga-M), Bolasepak Malaysia (MFL) menggesa semua pihak menyalurkan sebarang pandangan atau ketidakpuasan hati melalui saluran yang betul demi memastikan keharmonian dan imej bola sepak negara terus terpelihara.

 

MFL memaklumkan bahawa mereka menghormati hak setiap pihak untuk menyuarakan pandangan, namun sebarang tindakan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam, reputasi industri bola sepak tempatan serta mencetuskan persepsi negatif terhadap ekosistem bola sepak negara adalah tidak wajar.

 

“Sebagai badan pengelola liga profesional negara, MFL sentiasa komited untuk memastikan setiap keputusan dibuat berlandaskan peraturan pertandingan serta mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk kelab, pemain, penyokong dan rakan industri,” kata badan induk itu dalam kenyataan hari ini sebagai penjelasan kepada tindakan sekumpulan individu yang mengadakan demonstrasi di hadapan pejabat MFL pada Selasa.

 

Menyentuh mengenai isu yang dibangkitkan oleh sekumpulan individu terbabit, MFL menjelaskan bahawa proses pendaftaran pemain naturalisasi dan pemain warisan adalah dua perkara berbeza.

 

Menurutnya, proses pengesahan status dan pendaftaran pemain naturalisasi dalam Liga-M adalah seperti yang dijelaskan dalam Manual Liga-M Edisi 2025/26 di bawah Perkara 4.5.9.

 

“Bagaimanapun, bagi pendaftaran pemain dari kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel dan seorang pemain Kuching City FC, Gabriel Palmero, jelas mengikut peraturan pertandingan Liga Malaysia dengan menggunakan kad pengenalan yang sah sebagai warganegara Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya.

 

MFL sekali lagi menegaskan empat pemain tersebut telah didaftarkan dalam Liga Malaysia sebagai pemain tempatan dan bukan pemain naturalisasi.

 

Sebagai pemain tempatan, keempat-empat pemain ini boleh didaftarkan terus bagi saingan Liga-M 2025/26, dengan Figueiredo, Irazabal dan Hevel didaftarkan pada tempoh pertama pendaftaran pemain, iaitu dari 9 Jun hingga 31 Ogos 2025 oleh JDT, manakala Palmero yang ketika itu dibebaskan sementara daripada hukuman penggantungan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) didaftarkan oleh Kuching City FC pada tempoh kedua pendaftaran pemain dari 5 Jan hingga 1 Feb 2026.

 

Malah, keputusan MFL untuk mengiktiraf pemain tersebut sebagai pemain tempatan turut diperakui oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John pada 13 Mac lalu, dengan menjelaskan tiada sebarang isu berkenaan keputusan yang diambil kerana ia mengikut Peraturan Pertandingan Liga-M.

 

Ringkasan AI

  • MFL menggesa pandangan atau ketidakpuasan disampaikan melalui saluran betul
  • MFL menghormati hak suara setiap pihak tetapi menentang aksi yang boleh jejas imej bola sepak
  • Terdapat perbezaan dalam proses pendaftaran pemain naturalisasi dan pemain warisan
  • Empat pemain dari JDT dan Kuching City FC didaftarkan sebagai pemain tempatan mengikut peraturan
  • Keputusan MFL diiktiraf oleh AFC, tiada isu dengan pengiktirafan pemain sebagai tempatan
Scroll to Top