mohdsyazwan@hmetro.com.my
Shah Alam: Kelab dari Brunei, DPMM FC bakal ‘belanja besar’ apabila bersetuju menanggung sepenuhnya kos perjalanan semua pasukan Liga Super Malaysia yang akan bertandang ke negara itu sepanjang musim 2025-2026.
Perkara itu disahkan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd, yang menyifatkan langkah itu sebagai satu komitmen serius DPMM FC dalam memastikan pembabitan mereka dalam Liga M berjalan lancar dan profesional.
“Salah satu syarat dalam perjanjian ialah penajaan kos perjalanan. Mereka (DPMM FC) sendiri yang membuat permintaan dan telah bersetuju untuk menanggung semua perbelanjaan berkenaan,” katanya selepas Majlis Pelancaran Bola Rasmi Liga Malaysia Musim 2025/2026 di sini, hari ini.
Menurut Shazli, ia juga menjadi contoh bagaimana kerjasama luar negara boleh diwujudkan tanpa membebankan kewangan pasukan lain di dalam negara, sekaligus menjadikan saingan musim ini lebih terbuka dan kompetitif.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa penyertaan DPMM FC dalam Liga M tidak akan melayakkan kelab itu mewakili Malaysia ke pentas antarabangsa seperti Piala AFC atau kejohanan anjuran Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF).
“Sekiranya DPMM FC menamatkan saingan di kedudukan yang sepatutnya melayakkan diri ke kejohanan antarabangsa, slot itu tidak akan diberikan kepada mereka kerana ia dikhususkan untuk pasukan tempatan sahaja,” jelasnya.
Terdahulu, MFL turut melancarkan bola rasmi baharu, PUMA Orbita MFL 1, yang bakal digunakan sepanjang musim dalam semua kejohanan utama Liga Malaysia termasuk Liga Super, Piala FA, Piala Cabaran MFL dan Piala Malaysia.
Mengulas persiapan liga baharu, Shazli memaklumkan bahawa 12 pasukan sudah mengesahkan venue masing-masing manakala Stadium Darul Makmur, Kuantan, dipilih sebagai lokasi alternatif sekiranya berlaku isu berkaitan stadium pasukan lain.
“Contohnya, kita tahu Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu tidak boleh digunakan sepanjang Ramadan kerana dijadikan lokasi solat Tarawih. Jadi Stadium Darul Makmur akan tersedia jika diperlukan,” katanya lagi.
Beliau turut memaklumkan bahawa pasukan Imigresen FC diberi tempoh sehingga Isnin ini untuk mengesahkan venue mereka, sementara delegasi MFL akan berkunjung ke Brunei pada 10 dan 11 Julai ini bagi mengadakan taklimat khas bersama pengurusan DPMM FC.
© New Straits Times Press (M) Bhd