MFL tak terima laporan isu tunggakan gaji pemain Perak

PETALING JAYA – Liga Bola sepak Malaysia tidak menerima sebarang laporan rasmi berhubung isu tunggakan gaji selama dua bulan kepada pemain pasukan Perak FC.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan bagaimanapun mengharapkan krisis itu dapat diselesaikan kelab itu menjelang Jun tahun ini.

Malah beliau juga menjelaskan, ia tidak akan menjejaskan isu perlesenan Perak FC untuk musim 2022.

“MFL tidak menerima apa-apa laporan dari segi perlesenan sebab ia berlaku ketika ini.

“Sebab perlesenan yang kita sedang proses ketika ini (Perak FC) adalah untuk musim 2022 dan kita akan melihat nanti sehingga bulan Jun ini statusnya sama ada kelab itu dapat menyelesaikan masalahnya,” katanya dalam sidang media di Wisma FAM di Kelana Jaya hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas sama ada masalah Perak FC yang tidak menjelaskan tunggakan gaji pemain selama dua bulan terakhir ini akan menjejaskan permohonan lesen liganya.

Abd Ghani sebelum itu hadir bagi memeterai perjanjian penajaan bersama dengan Pusat Pakaian Hari-Hari selama setahun sehingga September 2021 ini.

Beliau juga menyatakan harapannya supaya krisis tunggakan gaji pemain dapat ditangani segera oleh kelab pasukan seladang itu.

“Kita berharap tiada masalah berlakunya pembayaran gaji kepada Perak FC yang buat pertama kalinya diperkenalkan pada masa ini dan begitu juga pada pasukan-pasukan lain yang terlibat dalam liga,” tegasnya.

Sementara itu, Abd. Ghani juga memaklumkan mengenai perubahan jadual liga MFL untuk baki musim ini.

Perubahan itu dilakukan selepas menerima permohonan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia kerana kebanyakan pemain yang beraksi dalam MFL akan mewakili skuad Harimau Malaya dalam pusingan kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 dan Pusingan Kelayakan Piala ASIA 2023 di UAE.

“Pemain-pemain dalam liga MFL turut mewakili negara dan pasukan kebangsaan sudah meminta kebenaran awal lagi membenarkan kesemua pemain yang terlibat dalam tugas kebangsaan.

“MFL kena ambil pendekatan ubah jadual perlawanan liga kerana mereka akan mewakili negara ke piala dunia dan piala Asia,” katanya.

Beliau juga menegaskan, komitmen kepada negara itu penting untuk memastikan persiapan Harimau Malaya dilakukan dengan sebaik mungkin untuk layak ke Piala Dunia dan Piala Asia 2023.- MalaysiaGazette