sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sedia untuk menyemak semula status pemain import di Liga Malaysia (Liga M) susulan pendedahan ejen Korea Selatan, Myeongho Jeong yang mendakwa jurulatih dan pemainnya tidak mendapat visa daripada pasukan disertai.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Giorgio Pompili Rossi berkata badan induk itu akan mendapatkan maklumat mengenai perkara itu daripada pasukan dan bertanya sama ada pemain import yang menyertai mereka sudah pun memiliki visa ataupun tidak.
Pada masa sama, Rossi juga tidak bersetuju dengan dakwaan ejen terbabit yang menyifatkan saingan Liga M sebagai teruk dan menasihatkan pemain import supaya tidak menyertai pasukan di negara ini.
“Apabila kita mendaftarkan pemain, kita juga menerima dokumen mengenai permintaan visa daripada kelab tetapi hanya kelab ataupun pejabat Imigresen boleh mengesan status permohonan terbabit.
“Ya, kita boleh menyemak kes ini dengan bertanya kepada pasukan untuk memberikan maklumat mengenai visa pemain import kerana kita tiada akses terhadap setiap permohonan.
“Ramai pemain import yang beraksi di sini jadi saya tidak begitu tahu jika ada kes di mana pemain menolak untuk beraksi di Malaysia.
“Tetapi tidak adil untuk menyatakan liga ini buruk hanya kerana sedikit insiden seperti ini yang berlaku,” kata Rossi.
Terdahulu, media melaporkan isu pemain import yang ‘diabaikan’ pasukan seperti yang didakwa Jeong apabila tidak diberikan visa bukanlah satu perkara yang baharu kerana masalah itu sememangnya wujud dalam kancah liga bola sepak tempatan.
Situasi itu dijelaskan Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah yang memaklumkan situasi itu sememangnya berlaku apabila ada pasukan yang didakwa mengambil jalan mudah dengan tidak menyediakan visa bagi menjimatkan perbelanjaan.
Namun Effendi yang juga ejen berpengalaman lebih 20 tahun itu menegaskan perkara ini sememangnya satu kesalahan besar dan ia tidak sepatutnya berlaku apatah lagi saingan Liga M sudah memasuki era profesional dan berpotensi untuk lebih berkembang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




