MGP pecah dua kumpulan, susur laluan berbeza cari 6 pendaki

Sungai Siput: Pasukan Malim Gunung Perhutanan (MGP) merancang memecahkan anggotanya kepada dua kumpulan bagi meluaskan kawasan pencarian enam pendaki yang dikhuatiri hilang ketika melalui laluan Gerok-Belum-Batu Putih (GBB).

Ketua kumpulan MGP, Mohd Osman Hassan, berkata operasi pencarian akan dimulakan dengan pasukan bergerak sejauh mungkin pada hari pertama sebelum dipecahkan kepada dua kumpulan untuk menyusuri laluan berbeza.

“Pada hari pertama, kami akan pergi sejauh yang boleh. Kemudian, kami mungkin akan berpecah kepada dua kumpulan, satu masuk melalui Belumri dan satu lagi melalui Kem Pro 2.

“Kita lihat macam mana. Kami juga sudah menyediakan bekalan makanan untuk beberapa hari, lebih kurang empat hari,” katanya.

Mohd Osman berkata, kaedah pencarian itu mengambil kira keadaan laluan yang mencabar, termasuk kawasan yang jarang dilalui pendaki sehingga memerlukan pasukan merintis semula laluan.

“Daripada Batu Putih nak menurun ke Pos Kemar, laluan itu agak jarang dilalui orang. Jadi, mereka perlu merintis semula laluan untuk turun ke sana,” katanya.

Beliau berkata, pasukan turut bergerak ke Kem Agik sebagai sebahagian daripada perancangan operasi dengan sebahagian bekalan makanan ditinggalkan di lokasi berkenaan untuk kegunaan sepanjang misi.

Pada hari kedua, pasukan dirancang dipecahkan kepada dua laluan iaitu satu kumpulan menyusuri laluan Belatoh, manakala satu lagi melalui Kem Sarsi yang juga laluan utama ke GBB.

Strategi berkenaan membolehkan pasukan dapat meliputi kawasan pencarian dengan lebih luas dalam tempoh sama, khususnya di laluan dari Perak yang dikenal pasti lebih mencabar.

Menurut MGP, laluan dari Perak mempunyai dua jalur yang masing-masing dikategorikan sebagai sukar dan lebih sukar.

Laluan yang dipercayai digunakan kumpulan mangsa pula adalah laluan yang kurang dilalui.

Mohd Osman berkata, keadaan fizikal laluan, jarak perjalanan dan cuaca antara cabaran yang perlu diambil kira dalam operasi pencarian itu.

Pada masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan mangsa berdepan masalah kesihatan atau kecederaan berbanding tersesat.

“Kemungkinan mangsa tersesat adalah rendah berdasarkan pengalaman dua malim gunung yang bersama kumpulan itu, termasuk seorang yang mempunyai kepakaran dalam pergerakan hutan, topografi dan penggunaan kompas.

“Kalau ikut pengalaman dua orang malim itu, saya rasa kemungkinan tersesat memang rendah kerana mereka memang pakar dari segi pergerakan hutan. Saya rasa mungkin mereka mengalami kecederaan,” katanya.

Dalam operasi itu, MGP Perak dan MGP Kelantan menggerakkan kira-kira 12 anggota bagi pusingan pertama dengan kerjasama pihak berkuasa.

Semalam, budak lelaki sembilan tahun dikenal pasti sebagai antara enam yang dikhuatiri hilang selepas hubungan dengan mereka terputus ketika mendaki Gunung Trans Gerah di Gua Musang.

Ia membabitkan empat beranak berkenaan dari Selangor bersama dua malim gunung yang memulakan pendakian bermula Gua Musang pada 29 Ogos dan sepatutnya tiba di Pos Kemar, Perak pada Khamis lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top