Kuala Lumpur: “Setiap tahun saya tidak pernah putus harapan supaya anak pulang ke pangkuan kami. Selagi tiada berita, pastinya kami mengharapkan berlaku keajaiban,”.
Demikian harapan Selamat Omar, 66, bapa kepada Mohd Khairul Amri, penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370.
Meskipun hari ini genap tujuh tahun tragedi menggemparkan dunia itu berlaku, namun keluarga masih mengharapkan keajaiban Mohd Khairul Amri pulang ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat.
Mohd Khairul Amri, 36, yang juga jurutera antara 239 anak kapal serta penumpang pesawat MH370 yang dalam perjalanan ke Beijing, China dari Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014 bagi menjalankan tugas membaiki sebuah pesawat syarikat penerbangan di sana.
Selamat berkata, selama tujuh tahun keluarga juga tidak pernah gagal melakukan tahlil dan menghantar makanan ke masjid bagi mendoakan kesejahteraan anak tersayang.
“Penantian ini satu penyeksaan, bukan saja buat keluarga kami tetapi semua waris mangsa. Diharap kerajaan dapat merungkai apa yang berlaku kepada pesawat mereka sehingga hilang tanpa gagal dikesan,” katanya kepada Harian Metro.
Katanya, dia juga berdebar menunggu pengumuman kerajaan yang dijangka dalam waktu terdekat berkaitan tragedi itu.
“Saya mengharapkan pengumuman melegakan kami dan akui sangat berdebar menunggu. Setakat hari ini, pihak keluarga belum dimaklumkan apa-apa maklumat lagi mengenai pengumuman ini.
“Kita (keluarga) tiada keupayaan untuk mencari (pesawat MH370), hanya mengharapkan kerajaan saja ketika ini.
“Sudah sampai masanya kerajaan membuat pengumuman sama ada melegakan atau sebaliknya, supaya ada noktahnya,” katanya.
Pesawat MH370 hilang daripada imbasan radar menyebabkan keluarga 239 penumpang dan anak kapal pesawat itu masih menanti pengakhiran episod tragis terbabit.
Kementerian Pengangkutan sebelum ini dilaporkan masih belum memutuskan sama ada akan melancarkan semula pencarian MH370 atau tidak, kerana setakat ini tiada sebarang bukti baharu mengenainya ditemui untuk mengerakkan semula pencarian.
Bagaimanapun, sumber Kementerian Pengangkutan memberitahu Bernama, kerajaan akan membuat satu pengumuman penting berkaitan tragedi itu dalam masa terdekat.