harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO) menggesa tindakan segera diambil ke atas semua individu terbabit dengan skim pelaburan mata wang kripto Gigamax.
Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, tindakan juga perlu dikenakan ke atas sebuah pertubuhan berdaftar yang dikesan aktif mempromosi malah mengadakan seminar membabitkan aplikasi pelaburan berkenaan.
Menurutnya, kesemua mangsa kini berada dalam keadaan tertekan berikutan nasib mereka diibaratkan seperti ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ selepas terpedaya dengan janji manis pihak sindiket iaitu pulangan keuntungan satu peratus setiap hari.
“Pada awalnya mangsa diminta memuat turun aplikasi Gigamax untuk melakukan pelaburan bagaimanapun mata wang kripto USDT yang diperoleh tidak boleh dikeluarkan.
“Mangsa kemudiannya diarahkan memuat turun aplikasi Teramax kononnya bagi membolehkan pengeluaran wang kripto berkenaan.
“Tetapi mangsa diminta untuk membeli kad ‘Visa’ berharga AS$500 (RM2,355) kononnya bagi membolehkan pengeluaran,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Hishamuddin berkata, sehingga kini tiada siapa yang mengaku bertanggung jawab sebagai pemilik aplikasi berkenaan malah pertubuhan yang kononnya mengajar teknik pelaburan menggunakan aplikasi Gigamax itu juga bersikap lepas tangan.
Menurutnya, pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial ada memaklumkan kepada beberapa mangsa bahawa siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan sedang dijalankan.
Menurutnya, pihak polis juga perlu menyiasat pembabitan dan peranan pertubuhan berkenaan yang berdaftar secara rasmi dengan pihak berwajib di dalam negara.
“Berdasarkan keputusan polis yang diterima oleh sebahagian mangsa adalah laporan polis mereka d iklasifikasikan sebagai Rujuk Lain Agensi (ROA), di mana laporan berkenaan dirujuk kepada Bank Negara Malaysia (BNM).
“Perkara ini amat pelik dan bagi kes ini, mangsa dengan jelas menyatakan bahawa mereka ditipu dan diperdaya oleh sesetengah pempengaruh atau individu yang terkenal untuk menyertai skim pelaburan ini,” katanya.
Terdahulu Harian Metro melaporkan 99 mangsa membuat aduan kepada MHO mendakwa menjadi mangsa penipuan skim pelaburan Gigamax membabitkan kerugian mencecah RM44.9 juta.
© New Straits Times Press (M) Bhd




