MIC akui ada perbincangan tidak rasmi dengan PN

MIC akui ada perbincangan tidak rasmi dengan PN

farid_noh@bh.com.my

Kota Tinggi: MIC mengakui parti itu ada melakukan perbincangan dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menentukan hala tujunya.

Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, pucuk pimpinan parti sedang meneliti dengan serius hala tuju parti itu susulan usul dicadangkan akar umbinya termasuk Kedah dan Pulau Pinang untuk menyokong PN.

Katanya, dinamika serta landskap politik negara yang sudah berubah memerlukan parti itu menentukan hala tujunya bagi memastikan ia tidak terkubur.

“Ya, kita akui ada melakukan perbincangan tidak rasmi dengan PN mengenai hala tuju MIC.

“MIC tak ada sembunyi apa-apa (perbincangan dengan PN), ini bukannya hubungan sulit.

“MIC (pucuk pimpinan) akan menentukan hala tuju kita sendiri, namun kami tidak marah dengan siapa-siapa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Perwakilan MIC Negeri Johor yang ke-79, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi MIC Johor, K Raven.

Minggu lalu, beberapa pimpinan MIC negeri termasuk Kedah, Pulau Pinang dan Perak dilaporkan meluluskan usul untuk bekerjasama dengan PN dan tidak menolak kemungkinan keluar daripada Barisan Nasional (BN)

Namun, Pengerusi MIC Kedah, SK Suresh dilaporkan berkata, keputusan muktamad akan ditentukan oleh kepimpinan pusat parti itu.

Mengulas lanjut, Vigneswaran berkata, MIC masih meneliti dengan terperinci hala tuju parti berkenaan sebelum keputusan muktamad dibuat nanti.

Katanya, keputusan yang akan diambil nanti adalah untuk kebaikan masyarakat India negara dan parti di masa hadapan.

“Semua perlu faham, dinamika politik negara sudah berubah, jika MIC tak terima hakikat itu, kami akan hilang.

“MIC terima kami dikata lemah, namun pelik apabila masih ramai nak bincangkan mengenai parti ini, ini kita tak faham.

“Banyak analisis dibuat mengenai MIC, macam-macam yang yang dikatakan namun kita tidak percaya (analisis dibuat mengenai MIC).

“MIC hanya percayakan akar umbi kami sahaja,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top