syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Korang asyik seru-seru nama aku, sampai aku hilang fokus di set (penggambaran), tahu tak?”
Demikian luah pengarah sensasi, Michael Ang yang tampil menjelaskan situasi sebenar selepas namanya dipetik pelakon Janna Nick berkaitan pertelingkahan dengan pelakon, Puteri Balqis.
Menerusi satu video yang dimuat naik di Instagram, Michael mengakui dia sendiri terlupa mengenai kejadian itu dan terpaksa menghubungi Janna yang kini berada di London untuk mendapatkan kepastian.
Menurut Michael, insiden itu sebenarnya berlaku puluhan tahun lalu ketika kali pertama dia bekerjasama dengan Janna untuk sebuah drama.
“Aku tanya dia (Janna), apa yang aku cakap sebenarnya? Rupanya benda ini dah berlaku berpuluh tahun dulu, zaman ‘Tok Kaduk’ lagi.
“Waktu itu aku cakap, ‘Eh, betullah apa yang orang cakap. Tangan kau gemuk, tangan kau besar’. Lepas itu dia tanya aku, mana?
“Sebenarnya perkara ini berlaku dalam satu ‘group chat’ ketika kami jalani penggambaran dengan pelakon Puteri Balqis,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai tangkap layar mesej yang tular, Michael menjelaskan dia tidak pasti siapa individu sebenar yang menulis mesej dalam kumpulan sembang berkenaan kerana ketika itu pelakon kanak-kanak sering ditemani ahli keluarga.
“Aku pun tak tahu siapa yang tulis mesej itu, sama ada ayah dia atau mak dia. Tapi selalunya pada zaman itu, ayah dia yang bawa dia ke set.
“Jadi aku rasa dalam ‘group chat’ itu memang ayah dia lah. Macam mana aku nak tahu?” katanya.
Dalam pada itu, Michael turut meminta warganet berhenti membanjiri ruang mesej (DM) dan memetik namanya di media sosial kerana mengganggu tumpuannya yang sedang sibuk menjalani penggambaran.
“Korang ingat apa? Sensasi sangat. Eh sudahlah korang ni. Aku tengah sibuk ‘shooting’.
“Siap terbatuk-batuk aku, hilang fokus betul. Dah jelas ya? Tak payah telefon atau DM aku. Jangan menyemakkan DM aku,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




