London: Trek Grand Slam (GST), liga trek dan padang yang ditubuhkan bekas juara Olimpik, Michael Johnson, memfailkan perlindungan muflis di Delaware bagi menstabilkan kewangan selepas musim sulung yang tidak berjaya, menurut kenyataan organisasi itu.
Pengumuman itu dibuat susulan penganjuran GST yang tidak mendapat sambutan selain terpaksa membatalkan acara final di Los Angeles, memendekkan acara di Philadelphia daripada tiga kepada dua hari, serta menghadapi kesukaran membayar atlet apabila dana yang dijanjikan gagal disalurkan.
Kehadiran penonton rendah pada pusingan pembukaan di Kingston, Jamaica, dan Johnson pada Ogos lalu, membuatkan liga itu tidak mampu memenuhi perjanjian pembayaran yang dijanjikan.
GST berkata proses di bawah pengawasan mahkamah akan membolehkan operasi distabilkan, kos dikurangkan dan liabiliti tertunggak diselesaikan dalam usaha untuk menstabilkan keadaan bagi tempoh jangka panjang.
Liga yang menawarkan hadiah wang tinggi bagi menarik bakat terkemuka itu kini sedang memuktamadkan pembiayaan “debtor-in-possession”.
“Trek Grand Slam ditubuhkan untuk mewujudkan platform profesional yang menghargai bakat dan dedikasi atlet sukan ini.
“Walaupun GST menghadapi cabaran besar yang menimbulkan kekecewaan ramai termasuk saya sendiri, saya enggan mengalah pada misi ini,” kata Johnson.
GST berhasrat untuk kembali dengan musim 2026 apabila isu kewangan diselesaikan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




