'Miea tak payah ikut, abang chik nak isi minyak dulu sebelum ke sekolah'

'Miea tak payah ikut, abang chik nak isi minyak dulu sebelum ke sekolah'

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: “Miea tak payah ikut, tunggu sahaja kat rumah, nanti abang chik balik ambil dan pergi ke sekolah.

“Abang chik nak pergi isi minyak motosikal dan akan segera balik,” itu kata-kata Noor Hazimi Noor Hashim, 15 kepada adiknya sebelum maut dalam kemalangan di Jalan Kepong, di sini, hari ini.

Noor Hazimi dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah untuk mengambil Norhasmiea, 14, selepas mengisi minyak di Kampung Pengadang Baru.

Norhasmiea berkata, Noor Hazimi bukan setakat abang kandung, malah dianggap sebagai kawan karib kerana sering menjadi tempat dia meluahkan masalah terutama berkaitan pelajaran.

“Memang rutin kami pergi dan balik sekolah bersama sejak 2024.

“Biasanya abang chik akan mengisi minyak motosikal pada sebelah petang setiap hari, tetapi tiba-tiba pagi ini dia minta saya tunggu di rumah kerana ingin ke stesen minyak,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Kampung Pengadang Baru, di sini, hari ini.

Norhasmiea berkata, abangnya seorang yang baik hati dan tidak kedekut selain sentiasa mengambil berat terhadapnya.

“Dia biasa beri duit untuk membeli makanan di kantin sekolah,” katanya sambil menambah abang sulungnya Noor Hazriq, 18, akan mengambil alih tugas arwah Noor Hazimi.

Jenazah pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin itu selamat dikebumikan kira-kira 5.30 petang dengan dihadiri lebih 150 ahli keluarga termasuk rakan dan pengurusan sekolah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top