'Miera Martoza' kekal pengakuan tidak bersalah

'Miera Martoza' kekal pengakuan tidak bersalah

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: ‘Miera Martoza’ yang sebelum ini didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu atas pertuduhan berpakaian dan berlagak seperti wanita di sebuah pusat beli-belah, kekal dengan pengakuan tidak bersalah dan mohon untuk dibicarakan.

Tertuduh, Mohd Lukman Mohamad Aluddin, 33, atau dikenali sebagai ‘Miera Martoza’, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Syarie, Hamidi Shafie.

Mengikut pertuduhan, pada 12 Mei tahun lalu kira-kira 4 petang, tertuduh didakwa melakukan kesalahan kali kedua dengan memakai pakaian wanita dan berlagak seperti wanita di pusat beli-belah, di sini.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 33 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman sebatan tidak melebihi enam sebatan atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, serta boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dan menetapkan 17 Mei depan sebagai tarikh perbicaraan kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Terengganu, Nurul Taqwa Hasbu, manakala tertuduh diwakili peguam, Siti Nur Adibah Pakurazzi.

Sementara itu, peguam tertuduh berkata, pihaknya kini masih menunggu dokumen-dokumen berkaitan perbicaraan selepas mengemukakan permohonan bagi mendapatkan dokumen tersebut.

Katanya, sebutan semula kes itu hari ini

bagi mendapatkan pengakuan anak guamnya sekali lagi dan masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah.

Lelaki mengaku tidak bersalah berpakaian, berkelakuan wanita

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top