am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Duta rasmi Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) enam tahun berturut-turut, Bront Palarae, 46, menyifatkan festival itu sebagai pemangkin penting kepada perkembangan industri perfileman tanah air.
Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin, berkata industri perfileman tempatan kini menunjukkan kemajuan memberangsangkan dan semakin mendapat kepercayaan daripada pelbagai pihak.
“Saya melihat MIFFest semakin maju, berkembang dan mendapat sokongan yang semakin kukuh daripada pelbagai pihak.
“Kejayaan ini pastinya tidak akan tercapai tanpa usaha keras Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), sokongan tajaan serta peranan penting media.
“Selain memperkayakan khalayak dengan pendedahan kepada filem-filem luar yang jarang ditayangkan di sini, ia juga menjadi platform untuk memperkenalkan karya tempatan ke mata dunia.
“Secara tidak langsung, Malaysia turut dikenali sebagai destinasi pelancongan, makanan dan lokasi pembikinan filem kepada delegasi antarabangsa yang hadir setiap tahun,” katanya kepada Harian Metro. Sebagai duta rasmi MIFFest sejak tahun ketiga penganjurannya, Bront mengakui bahawa pada awalnya terdapat keraguan dalam kalangan masyarakat mengenai kewujudan festival ini.
“Saya tidak merasai bahang kesangsian daripada khalayak pada awal kewujudan MIFFest kerana saya hanya mula menjadi duta pada tahun ketiga.
“Namun, ketika itu saya sudah mula nampak wujudnya kerjasama positif, termasuk dengan Hong Kong Economic and Trade Office. Saya percaya, di negara ini, apa sahaja bentuk penganjuran pasti akan menerima komen pelbagai daripada masyarakat.
“Saya tidak salahkan sesiapa kerana kebiasaannya, sesuatu majlis hanya dianjurkan sekali dan kemudian senyap begitu sahaja. Perkara sebegini membuatkan masyarakat mudah untuk memperlekeh dan memberikan komen negatif.
“Namun, saya bersyukur kerana MIFFest kini sudah masuk tahun kelapan, semakin berkembang dan berjaya meletakkan Malaysia di peta perfileman. Kalau bukan di peringkat dunia, sekurang-kurangnya di peringkat serantau,” katanya.
Selain menjadi duta, pelakon siri The Bridge ini juga berkongsi pengalaman menjalani penggambaran di luar negara selain mengambil inisiatif mendapatkan maklumat berkaitan judul-judul filem menarik dari Thailand dan Indonesia.
“Dalam masa yang sama, saya juga berperanan sebagai wakil perhubungan untuk membantu penganjur menghubungi artis serta pembikin filem melalui agen, syarikat pengurusan, pembantu peribadi dan sebagainya.
“Semasa majlis berlangsung, juri tidak dibenarkan bergaul dengan delegasi lain.
“Jadi, saya mengambil alih peranan itu, dan dari situlah muncul pelbagai idea untuk mengembangkan beberapa elemen lain dalam festival ini,” katanya.
Selain Bront, MIFFest turut melantik dua duta baharu iaitu pelakon, Siti Saleha dan Daiyan Trisha.
MIFFest 8 akan berlangsung pada 19 hingga 27 Julai depan manakala acara perasmian akan diadakan di pusat beli-belah MyTown.
© New Straits Times Press (M) Bhd