MIHAS 2026 sasar jualan RM4.5 bilion produk halal

MIHAS 2026 sasar jualan RM4.5 bilion produk halal

hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mengalihkan tumpuan perdagangan dan eksport ke pasaran baharu susulan ketidaktentuan geopolitik serta krisis global yang menjejaskan beberapa pasaran utama dunia ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Abu Bakar Yusof berkata, pihaknya sudah mengambil langkah mempelbagaikan pasaran sejak hujung tahun lalu dan tidak hanya bergantung kepada pasaran tradisional seperti Singapura, Amerika Syarikat, China serta Jepun.

Jelasnya, antara pasaran baharu yang sedang diberi perhatian ialah Afrika, Asia Tengah seperti Kazakhstan dan Uzbekistan, Asia Selatan termasuk Bangladesh serta Sri Lanka, selain pasaran ASEAN sendiri.

“Bagi MATRADE bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), kita mahu mengadakan lebih banyak aktiviti di pasaran ASEAN sendiri kerana kita mahu memperkembangkan perdagangan dan eksport di antara negara ASEAN.

“Pendedahan Malaysia kepada pasaran Timur Tengah ketika ini agak terhad apabila rantau itu hanya menyumbang kira-kira tiga peratus kepada keseluruhan perdagangan negara,” katanya pada majlis prapelancaran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 di sini, hari ini.

MIHAS 2026 meletakkan sasaran jualan keseluruhan RM4.5 bilion berbanding RM4.3 bilion tahun lalu.

Abu Bakar berkata, bagi eksport produk halal pula, pasaran Timur Tengah dianggarkan mewakili sekitar 10 hingga 15 peratus, justeru kesan krisis semasa adalah terhad.

“Sasaran pertumbuhan eksport negara bagi tahun ini masih dikekalkan antara tiga hingga lima peratus termasuk eksport produk halal, mengambil kira keadaan ekonomi semasa.

“Sasaran itu dibuat secara sederhana berdasarkan ketidaktentuan global ketika ini. Namun Malaysia masih mencatat prestasi memberangsangkan pada suku pertama 2026,” katanya.

Jelasnya, melihat kepada angka yang dikeluarkan baru-baru ini untuk suku tahun pertama, perdagangan eksport masih menunjukkan perkembangan baik iaitu eksport meningkat hampir 13 peratus dan perdagangan berkembang 10.4 peratus.

“Kesan krisis global dijangka mula dapat dilihat pada April dan suku kedua tahun ini, namun keadaan sebenar masih sukar diramalkan ketika ini.

“Dari segi prestasi halal, Malaysia mengeksport hampir RM70 bilion produk halal tahun lalu dan di bawah Rancangan Malaysia ke-13, kerajaan mensasarkan eksport produk halal mencecah RM80 bilion menjelang 2030,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top