JAGUH bina badan negara, Datuk Syarul Azman Mahen Abdullah memberi bayangan akan bersara tahun depan, setelah 26 tahun berkecimpung dalam sukan itu.
Beliau yang lebih mesra dipanggil Mike Mahen, mengakui niat untuk bersara sudah terdetik sejak tahun lepas, bagi memberi ruang kepada pelapis baharu namun menangguhkannya kerana ‘dipujuk’ oleh Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF).
“Dalam hati ini, memang niat nak bersara kerana ikut usia, saya rasa saya atlet paling tua menang kejuaraan dunia dalam kategori terbuka, iaitu ketika berusia 50 tahun.
“Cukup semuanya saya sudah enam kali juara dunia dan Asia malah di Sukan SEA, saya sudah merasai pingat emas tetapi bila saya nyatakan hasrat kepada persatuan, mereka mohon saya kekal dan bertanding untuk tempoh dua tahun lagi sehingga 2025,” katanya selepas menghadiri sesi Kopi, Sukan dan Aspirasi Bersama Atlet Negara pada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di Stadium Nasional Bukit Jalil.



