puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Teka-teki mengenai seorang lagi pelakon yang menggalas watak Gusti Putri Raden Adjeng Retno Dumilah akhirnya terjawab apabila Mila Mohsin turut diumumkan sebagai teraju utama Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) 2026.
Pengumuman mengenai watak itu dibuat menerusi akaun Instagram (IG) rasmi PGLM, tepat jam 6 petang tadi.
“Hari ini perkenalkan salah seorang Puteri kami. Seseorang yang membesar dalam dunia Puteri Gunung Ledang (PGL), menyaksikan sendiri muzik, pengorbanan, kerinduan dan magisnya jauh sebelum melangkah masuk ke dalam kisah ini sebagai watak utama.
“Momen ini bukan sekadar memilih generasi baharu. la adalah mengisahkan legasi dan pertalian darah serta kesinambungan sebuah dunia yang sudah hidup dalam hati penonton lebih dua dekad,” berdasarkan kenyataan dalam Instagram PGLM.
Untuk rekod, Mila merupakan anak hasil perkahwinan Tiara bersama pelakon, Allahyarham Hani Mohsin.
Watak ikonik Gusti Putri sebelum ini amat sinonim dengan Tiara Jacquelina yang memegang watak terbabit dalam semua siri pementasan bermula dari tahun 2006 hingga 2009.
Untuk pementasan tahun ini, pihak produksi PGLM tampil memberikan nafas baharu dengan melakukan pembaharuan iaitu memperkenalkan dua pelakon untuk watak Puteri dan Bayan buat pertama kali dalam sejarah pementasan terbabit.
Terdahulu, penyanyi, Aisha Retno diumumkan sebagai salah seorang pelakon utama yang bakal menghidupkan watak Gusti Putri tersebut.
Sementara itu, watak Hang Tuah pula bakal diumumkan di Instagram PGLM pada jam 12 tengah hari esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




