MILDEF International Technologies Sdn. Bhd. (MILDEF) melakar sejarah tersendiri menerusi perasmian Kilang Pembuatan Kenderaan Perisai Nasional pertama negara di Sendayan, Negeri Sembilan dengan kos pelaburan sekitar RM2 bilion.
Fasiliti canggih tersebut dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada suku pertama 2026 sekali gus memperkukuhkan infrastruktur pertahanan tempatan dan menambah kapasiti pengeluaran secara signifikan.
Menurut Pengarah Urusan MILDEF, Datuk Seri Mohd Nizam Kasa, bermula daripada syarikat kecil di Kajang, MILDEF kini menjadi peneraju nasional dalam penyelenggaraan dan pembuatan kenderaan berperisai seperti Tarantula HMAV dan Ribat HMLTV.

Anwar dibawa melawat fasiliti sambil diberikan penerangan oleh Mohd Nizam (kanan) selepas merasmikan kilang tersebut.
“Kilang dan fasiliti baru ini merupakan tonggak penting dalam transformasi MILDEF sebagai penggerak utama industri pertahanan Malaysia.
“Dengan operasi penuh dijangka bermula pada suku pertama 2026 dan jumlah pelaburan yang amat besar, MILDEF berada pada landasan tepat untuk merealisasikan visi menjadi tulang belakang kepada inovasi industri teknologi pertahanan serantau,” ujar Mohd Nizam pada majlis perasmian yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Majlis turut disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), agensi kerajaan berkaitan termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), rakan industri, institusi akademik serta delegasi antarabangsa.
Pada majlis sama, MILDEF turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Pertahanan Negara (UPNM) dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), latihan dan pemindahan teknologi, sebagai pelaburan pembangunan modal insan dan inovasi pertahanan tempatan.
MILDEF juga berkesempatan menyampaikan Bakul Rahmah mengandungi barangan keperluan asas harian beserta sumbangan tunai kepada golongan asnaf serta veteran angkatan tentera dan polis di majlis berkenaan.
Dalam pada itu, Mohd Nizam berkata, dengan kelengkapan berteknologi tinggi merangkumi proses rekabentuk, fabrikasi, kimpalan, mengecat, pemasangan hingga ke ujian dinamik, MILDEF kini mampu meningkatkan kapasiti pembuatan tempatan serta mengurangkan kebergantungan kepada pengimportan luar.
Pada masa sama, syarikat turut berkembang secara berstruktur melalui R&D, rangkaian strategik dan penglibatan antarabangsa.
Lebih membanggakan, MILDEF yang ditubuhkan pada November 2005 kini mempunyai 150 tenaga kerja tempatan sepenuhnya yang majoritinya berkemahiran dalam bidang teknikal.
Ujar beliau lagi, bagi memastikan setiap program R&D di dalam pembikinan kenderaan-kenderaan perisai keluarannya menepati ciri-ciri dan kehendak pertahanan negara, MILDEF telah membentuk kerjasama strategik dengan Science & Technology Research Institute For Defence (STRIDE), untuk pembangunan platform 6Ă—6 dan Light Armored Tracked Vehicle (LATV).
Selain itu, ketika LIMA 2025, HMLTV telah dilancarkan sebagai “RIBAT” oleh Anwar.
Terdahulu, MILDEF turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama PT Pindad (Indonesia) dan Teaming Agreement dengan ASELSAN (Turkiye), untuk meningkatkan peluang eksport, pemindahan teknologi, integrasi sistem, dan pembangunan bersama platform taktikal masa depan.
Tambah Mohd Nizam, pembabitan MILDEF di dalam industri pertahanan bukanlah sesuatu yang baru.
“MILDEF sebelum ini aktif menyertai ekspo global seperti Defence Security Asia (DSA), Asian Defence And Security (ADAS) dan pameran-pameran lain seperti di Vietnam, UAE, Perancis, Thailand, Brunei dan Indonesia, memperkukuhkan reputasi di peringkat antarabangsa dan menarik minat pasaran luar terhadap produk inovatifnya,” katanya.
Tidak ketinggalan, MIDA turut memainkan peranan penting dalam menghubungkan MILDEF dengan ekosistem pelaburan serta insentif industri.
Menariknya, selain pembikinan kereta perisai, MILDEF turut menawarkan perkhidmatan Maintenance,Repair & Overhaul (MRO) bagi kenderaan perisai K200 MIFV, Pendekar PT-91M dan VAMTAC.
MILDEF juga menawarkan program modenisasi kenderaan seperti ADNAN, HANDALAN dan SCORPION serta membekalkan komponen kritikal bagi memastikan keupayaan operasi pasukan keselamatan Malaysia sentiasa di tahap optima.
Â